Category Archives: Qalam Mufti

QALAM MUFTI #34: TENTANG DEHIJABING DAN PAKSAAN BERTUDUNG

Pertamanya, kami lafazkan alhamdulillah atas pelbagai kurniaan Tuhan kepada kita yang Allah muliakan dengan sebaik-baik kejadian, pelbagai nikmat dan keistimewaan sehingga Allah menyebut dengan firman-Nya:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Surah al-Tin (4)

Tetapi hendaklah kita membacanya dengan ayat selepas itu sebagai peringatan untuk sentiasa menyedari akan hakikat sebagai hamba Allah yang wajib mentaati-Nya. Firman Allah SWT:

ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ

Maksudnya: Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,

Surah al-Tin (5)

Kami terbaca kenyataan Puan Latheefa Koya dalam Facebook beliau yang secara umumnya merumuskan bahawa wanita Muslimah tidak wajar dipaksa bertudung.

Ada beberapa perkara dalam kenyataan beliau yang pada hemat kami, wajar diberi penjelasan kerana ia boleh menimbulkan salahfaham dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam.

  1. “Namun saya langsung tidak setuju orang dipaksa pakai tudung! Itu bukan cara Islam. Tiada paksaan dalam Islam. Mana pergi prinsip ini.”
  2. “Hanya semata-mata seorang tak pakai tudung – adakah dia akan masuk neraka? adakah dia jadi murtad? adakah dia jadi seorang perempuan yang jalang? come on lah.. itu adalah satu pemikiran ekstremis.”

Kami nyatakan di sini beberapa noktah sebagai pencerahan:

Pertama: Tafsiran ayat la ikraha fi al-din (لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ)

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 256)

Jika diteliti dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti Tafsir al-Qur’an al-‘Azim misalnya, ayat di atas jelas berkaitan dengan kemasukan manusia kepada agama Islam. Imam Ibn Kathir menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat “Tiada paksaan dalam agama” dengan bahagian ayat seterusnya iaitu (قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ) “Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat”, iaitu apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia, maka ia tidak perlu kepada paksaan.

Ini bermakna, ayat ini tidak disesuai dipadankan dengan mereka yang sudah pun berada dalam agama Islam. Ayat ini adalah larangan paksaan kepada bukan Muslim untuk memeluk Islam.

Kedua: Falasi strawman (المغالطة رجل القش)

Dalam falasi strawman, seseorang menyerang satu-satu hujah yang didakwanya adalah hujah lawan. Berbanding berusaha untuk berhadapan dengan hujah yang sebenar, seseorang yang menggunakan falasi strawman menyerang sesuatu hujah yang diciptanya sendiri atau berlebih-lebihan dalam menanggapi hujah tersebut yang dilihat senang dikalahkan seumpama orang jerami yang tidak bernyawa. Pada hakikatnya, ia bukanlah hujah pihak lawannya.

Kami berpandangan, Puan Latheefa Koya menggunakan bentuk falasi yang sama kerana tidak pernah ada mana-mana pihak yang berkepentingan dalam agama atau ulama’ yang menegaskan bahawa perempuan Muslimah yang memilih untuk tidak bertudung sebagai murtad, masuk neraka dan perempuan jalang. Malah, ia jauh sekali berada dalam dua sumber rujukan Islam iaitu al-Qur’an dan al-Hadith.

Jika kenyataan sedemikian keluar daripada mulut orang awam, itu bukanlah hujah yang kukuh untuk dizahirkan kerana ianya tidak bersandarkan apa-apa bukti daripada dua sumber berkenaan. Kami khuatir ianya memberi perspektif yang negatif terhadap agama Islam itu sendiri.

Ketiga: Memahami Hikmah Syariah

Suka kami nyatakan satu kaedah yang masyhur:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالمصَالِحِ

Maksudnya: Hukum-hukum syarak itu dinyatakan sebab-sebab penurunannya, diikat dengan maslahat-maslahat.

Ertinya, tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ianya sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu. Begitu juga, hukum Syarak sentiasa mempunyai maslahat yang terkadang-kadang tidak dijangkaui oleh akal dan logik manusia, tetapi dapat dikesani dengan suluhan yang sentiasa memahami nilai tinggi Syariat. Inilah hikmah yang dikurniakan Allah kepada siapa yang dikehendaki dan sesiapa yang dikurniakan hikmah, sudah barang tentu dikurniakan kepadanya kebaikan yang banyak. Benarlah firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Surah al-Baqarah (269)

Keempat: Bertudung Pun Dicabul/Dirogol?

Mungkin ada yang berhujah bahawa menutup aurat juga tidak menjamin keselamatan wanita daripada gangguan seksual dan kes-kes lain yang lebih berat seperti dirogol. Kami tidak menafikannya malah amat bersetuju. Cuma, akal yang logik dan waras sudah tentu boleh memahami bahawa ianya adalah kerosakan sampingan (collateral damage) akibat rangsangan nafsu lelaki yang melihat tubuh badan wanita lain.

Menurut Journal of Adolescent Health, pendedahan kepada pornografi secara berlebihan boleh membawa kepada 8 masalah. Antaranya adalah persepsi seksual yang keterlaluan dalam masyarakat dan kepercayaan bahawa hubungan seks bebas (promiscuity) adalah normal. Kajian seorang sosiologis, Jill Manning pula mendapati pornografi boleh membawa kepada beberapa sikap kepada penagihnya. Antaranya ialah “selera” yang meningkat terhadap pornografi bergambar dan aktiviti seksual yang berkaitan dengan kekerasan, salah dari segi undang-undang dan hubungan seksual yang tidak selamat.

Justeru, tidakkah ia hujah yang sangat ampuh bagi Muslimah untuk bertudung sebagai mematuhi perintah Allah SWT dan memelihara dirinya daripada pandangan yang jahat?

Kesimpulan

Adakah wanita Muslimah wajar dipaksa bertudung? Dari sudut fiqhnya, pemerintah berhak untuk bertindak namun dari sudut keluasan dakwah Islam, kami melihat perlu tindakan yang agresif dalam kalangan agensi-agensi agama dan NGO-NGO Islam bagi memupuk kesedaran kepentingan mengikut syariat Allah SWT antaranya dalam isu berpakaian.

Dehijabing adalah satu pilihan atas kehendak mereka, namun mempromosikannya dalam bentuk forum atau lain-lain adalah satu bentuk norma kehidupan yang bercanggah dengan budaya Islam. Dalam wacana yang bersifat dakwah dan perbincangan ilmiah, kami amat tidak gemar untuk menggunakan sebarang peruntukan undang-undang yang boleh disalahtafsirkan sebagai “menindas” dan “kekerasan”. Namun, membincangkan soal agama tanpa sebarang tauliah adalah jelas satu kesalahan.

Merujuk kepada Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian III – Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya (Seksyen 11. Mengajar agama tanpa tauliah.)

  1. Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 96 Akta Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
  2. Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 98 Akta Pentadbiran; atau mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.

Kami tidak cenderung kepada kelompok yang hanya menyalahkan wanita dalam isu ini dan membiarkan lelaki. Dalam hal wanita yang mendedahkan aurat, lelaki juga berperanan untuk menundukkan pandangan dan bukannya mengecam dengan kata-kata nista atas dosa yang dilakukan wanita berkenaan. Inilah yang ditegaskan dalam Islam. Kedua-dua belah pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan syariat-Nya.

Rasulullah SAW sendiri sudah mendidik kaum lelaki agar lebih menjaga pandangan mereka. Daripada Ibn ‘Abbas katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ خَثْعَمَ اسْتَفْتَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ، وَالْفَضْلُ بْنُ عَبَّاسٍ رَدِيفُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ فِي الْحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يَسْتَوِيَ عَلَى الرَّاحِلَةِ، فَهَلْ يَقْضِي عَنْهُ أَنْ أَحُجَّ عَنْهُ؟ فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «نَعَمْ» ، فَأَخَذَ الْفَضْلُ بْنُ عَبَّاسٍ يَلْتَفِتُ إِلَيْهَا، وَكَانَتِ امْرَأَةً حَسْنَاءَ، فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْفَضْلَ، فَحَوَّلَ وَجْهَهُ مِنَ الشِّقِّ الْآخَرِ

Maksudnya: “Bahawasanya seorang wanita daripada Khath’am meminta fatwa daripada Rasulullah SAW semasa Hajjatul Wada’. Al-Fadhl bin ‘Abbas menunggang di belakang Rasulullah SAW. Wanita tersebut bertanya: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kewajipan mengerjakan haji telah sampai kepada bapaku dan dia adalah seorang yang sangat tua yang tidak mampu untuk duduk di atas kenderaan. Apakah boleh saya menggantikan dia menunaikan haji? Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ‘Ya’, al-Fadhl bin ‘Abbas memandangnya. Beliau adalah seorang wanita yang cantik. Lalu Rasulullah SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke arah lain.”

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin

Kami memohon maaf kepada Puan Latheefa Koya sekiranya tulisan ini mengguris perasaan Puan. Namun, artikel ini – sebagaimana artikel-artikel lain dalam laman web www.muftiwp.gov.my – ditulis untuk meluruskan salahfaham dalam kalangan umat Islam, mengayakan perbendaharaan fiqh dalam Islam, juga sebagai hab rujukan bagi persoalan keagamaan, bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan masyarakat antarabangsa. Tidak ada niat lain melainkan untuk melihat kita semuanya hidup aman dan damai di bawah lembayung rahmat Ilahi. 

Untuk rujukan tambahan, sila klik:

BAYAN LINNAS SIRI KE-169: FENOMENA “TIDAK BAHAGIA BILA BERTUDUNG”

Akhukum fillah,

Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

23 April 2019

QALAM MUFTI #30: TRAGEDI BERDARAH BUAT UMAT ISLAM

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

MaksudnyaDan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

Surah al-Buruj (8)

Orang kafir menyeksa orang beriman hanya kerana sesuatu yang tidak boleh diseksa, bahawa menjadi hak tiap-tiap orang untuk melakukannya dan mengajak orang lain mengikutinya, iaitu beriman kepada Allah SWT. Allah menyaksikan perbuatan orang kafir ke atas orang Mukmin dan Dia akan membalas seluruh perbuatan mereka. Penerangan ini mententeramkan hati orang-orang Mukmin dan memberi ancaman kepada orang-orang kafir yang berbuat makar dan bermaharalela terhadap orang Islam bahawa cukuplah Allah SWT sebagai saksi dan pelindung. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran10/300-301; Tafsir al-Munir, 15/459 dan Tafsir al-Maraghi15/7516)

Sehingga artikel ini ditulis, kami mendapat perkhabaran kira-kira 49 orang terbunuh dalam serangan berdarah di Masjid al-Noor, Christchurch, New Zealand manakala ramai dilaporkan mengalami cedera parah. Ini merupakan suatu perkara yang amat malang.

Peristiwa seperti ini adalah peristiwa yang cukup tragis, yang bagi kami adalah satu peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku. Oleh itu, mereka yang berada dalam masjid, kita mengharapkan mendapat syahid daripada Allah SWT. Kita mengharapkan mereka diganjarkan pahala kerana semangat mereka datang ke masjid, mengimarahkannya, berada dalam masjid dan ingin melaksanakan solat Jumaat secara berjemaah.Namun apa yang berlaku, kematian menanti mereka.

Kami menyokong kenyataan tegas Syeikhul Azhar dan ulamanya yang berkata :

Al-Azhar al-Syarif juga menegaskan dengan setegasnya bahawa ini merupakan serangan pengganas yang telah mencemarkan kehormatan rumah Allah serta menumpahkan darah-darah yang tidak berdosa.

Wajib untuk kita membunyikan penggera amaran untuk tidak bermudah-mudahan dengan pelbagai aliran pemikiran, kumpulan-kumpulan fanatik yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk seperti ini. Ini juga termasuk keperluan untuk ditambah usaha-usaha dalam mengukuhkan semangat perpaduan dan toleransi serta kesepakatan yang positif sesama masyarakat yang satu tanpa kita memandang kepada agama-agama dan budaya masing-masing.

Yakin dan percayalah bahawa tindakan seperti itu adalah satu tindakan yang menggusarkan. Ia seolah-olah menyimbah minyak kepada api bagi siri-siri penindasan terhadap umat Islam. Umat Islam sudah tentu akan merasa sedih yang amat sangat di atas tindakan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab ini. Semoga Allah SWT akan membalas tindakan mereka.

Kita merasa amat kesal serta merasa amat dukacita di atas apa yang berlaku. Saya percaya mereka yang terkorban ini termasuk dalam apa yang disebut oleh nas:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

MaksudnyaHanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Surah al-Taubah (18)

Mereka menghadap Allah dalam keadaan berwuduk, dalam keadaan di dalam rumah Allah, pada hari Jumaat yang penuh dengan keberkatan – kesemuanya itu terangkum kebaikan demi kebaikan, mati dalam husnul khatimah. Kita mengharapkan mereka diganjarkan balasan yang sebaiknya di sisi Allah SWT, ditempatkan mereka sebagaimana yang disebut:

فَأُولَـٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَـٰئِكَ رَفِيقًا

MaksudnyaMaka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Surah al-Nisa’ (69)

Marilah kita berdoa kepada Allah supaya api-api fitnah seperti ini dapat dipadamkan. Umat Islam hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan agamanya, menginsafi dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Maka insha Allah, sinar kebahagiaan ummah dalam keadaan perpaduan yang utuh, dalam keadaan kesatuan yang cukup kuat akan menatijahkan kebaikan dan kebahagiaan kepada umat ini.

Firman Allah SWT:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

MaksudnyaDan orang-orang itupun merancangkan tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

Surah Ali Imran (54)

Allah SWT turut berfirman:

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّـهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ

MaksudnyaDan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).

Surah Ibrahim (42)

Semoga kabus hitam berarak lalu dan cahaya kebahagian menanti kita. Amin.

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
15 Mac 2019 bersamaan 8 Rejab 1440 Hijrah