Category Archives: Kafi lil Fatwa

AL-KAFI #1326 : PERLUKAH MAKMUM MASBUQ MENGULANG SEMULA DOA QUNUT

Soalan:

Saya terlewat datang solat Subuh, dan hanya sempat rakaat kedua dan membaca doa qunut bersama imam. Apabila saya bangun untuk menambah rakaat, perlukah saya membaca doa qunut sekali lagi?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Membaca qunut di dalam solat Subuh adalah termasuk di dalam perkara-perkara sunat di dalam solat mengikut mazhab al-Syafie. Ia dibaca semasa i’tidal (selepas bangun daripada ruku’) di dalam rakaat yang kedua pada solat Subuh dan ia juga dibaca di dalam rakaat yang kedua di dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga ia dibaca di dalam rakaat yang terakhir dalam mana-mana solat bagi qunut Nazilah. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, hlm. 89)

Antara dalilnya ialah hadith daripada al-Barra’ bin Azib RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ وَالمَغْرِبِ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW berqunut pada solat Subuh dan Maghrib.”

Riwayat al-Tirmizi (401). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih.

Perlukah makmum masbuq mengulang bacaan qunut?

Menurut Imam al-Syirazi, jika seseorang makmum masbuq sempat bersama dengan imam pada rakaat yang akhir, maka rakaat tersebut menjadi rakaat pertama bagi makmum tersebut. Ini berdasarkan athar daripada Saidina Ali bin Abi Tolib RA:

ما أدركتَ فهو أوَّلُ صلاتِك

MaksudnyaRakaat yang kamu sempat bersama imam menjadi rakaat pertama bagi kamu (makmum masbuq).

Riwayat Imam al-Baihaqi dalam Al-Sunan al-Kubra (2/298)

Jika solat itu mempunyai qunut, maka dia hendaklah qunut bersama imam , dan apabila dia bangun untuk menggantikan satu rakaat yang tertinggal, dia hendaklah qunut sekali lagi, sebagaimana jika dia telah duduk tasyahhud bersama imam, dia perlu duduk dan membaca tasyahhud sekali lagi sewaktu menggantikan rakaat yang tertinggal itu. (Rujuk Al-Muhazzab 1/180)

Menurut Imam al-Nawawi, ini juga pandangan yang dipegang oleh Sa’id ibn Musayyib, Hasan al-Basri, Ato’, Umar ibn Abd al-Aziz, Makhul, al-Auza’ie dan lain-lain.

Namun menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad dan al-Tsauri, rakaat yang kita sempat bersama imam merupakan rakaat yang akhir, manakala rakaat yang perlu digantikan merupakan rakaat yang awal. Ini berdasarkan athardaripada Saidina Umar al-Khattab RA yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma:

مَا أَدْرَكَهُ آخِرُ صَلَاتِهِ وَمَا يَتَدَارَكُهُ أَوَّلُ صَلَاتِهِ

MaksudnyaRakaat yang sempat didapati bersama imam menjadi rakaat akhir bagi makmum yang masbuq, dan rakaat yang digantikan menjadi rakaat awal baginya.

Namun mazhab Syafi’e menguatkan pandangan mereka berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

MaksudnyaSolatlah bersama imam (walau berapa rakaat yang kamu sempat), dan gantikanlah rakaat yang kamu tertinggal.

Sahih al-Bukhari (635) dan Sahih Muslim (602)

(Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/220)

Tuntasnya, makmum masbuq perlu mengulang semula bacaan qunut sewaktu menggantikan rakaat yang tertinggal, meskipun dia telah membaca qunut bersama imam.

Wallahu a’lam.

AL-KAFI #811 : BENARKAH MATI ITU MENGEJUT?

Soalan

Benarkah sifat mati itu mengejut?

Jawapan

Alhamdulillah,pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada hakikatnya, kematian merupakan satu ketentuan Allah SWT. Setiap manusia pasti akan akan mengalami kematian, sama ada dalam keadaan biasa, atau dalam keadaan mengejut. Allah SWT berfirman:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).

(Surah al-Ankabut: 57)

Ibn Kathir berkata: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah.

Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim(6/197)

Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(Surah al-A’raf: 34)

Kematian mengejut merupakan di antara tanda-tanda hampirnya berlaku kiamat. Rasulullah SAW bersabda:

مِن اقْتِرَابِ السَّاعَةِ…. وَأَنْ يَظْهَرَ مَوْتُ الْفُجَاءَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya di antara tanda-tanda hari Kiamat adalah…munculnya kematian mengejut.”

Riwayat al-Tabarani dalam
al-Mu’jam al-Saghir (1132)

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: Aku bertanya pada Rasulullah SAW berkenaan kematian mengejut. Lalu Baginda bersabda:

رَاحَةٌ لِلْمُؤْمِنِ ، وَأَخْذَةُ أَسَفٍ لِلْفَاجِرِ

Maksudnya: “(Mati mengejut) adalah suatu kesenangan bagi seorang mukmin dan penyesalan bagi orang derhaka.”

Riwayat Imam Ahmad (25556)

Disebut di dalam kitab Fath al-Bari bahawa sebahagian daripada ulama’ salaf tidak menyukai kematian yang datang secara mengejut. Hal ini kerana dikhuatiri ia tidak memberi kesempatan bagi seseorang untuk meninggalkan wasiat dan juga bagi mempersiapkan diri untuk bertaubat serta melakukan amal-amal soleh yang lain. Perkara ini dinukilkan oleh Imam Ahmad dan sebahagian daripada ulama mazhab Syafi’i.

Imam Nawawi menukilkan bahawa beberapa orang daripada kalangan sahabat Nabi SAW dan juga orang-orang soleh meninggal secara mengejut. Imam Nawawi berkata, “Kematian mengejut itu disukai oleh para muqarrabin (mereka yang sentiasa menjaga amal kebaikan kerana merasa diawasi oleh Allah).” 

Rujuk Fath al-Bari (3/245)

Al-Hafiz Ibnu Hajar kemudian berkata, “Dengan yang demikian, maka kedua pandangan di atas dapat disatukan.”

Lihat Fath al-Bari (3/255)

Disebut bahawa Luqmanul Hakim pernah memberikan nasihat peringatan kepadaa naknya tentang kematian mengejut. Daripada Uthman bin Zaidah, beliauberkata:

قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ: يَا بُنَيَّ لَا تُؤَخِّرِ التَّوْبَةَ، فَإِنَّ الْمَوْتَ يَأْتِي بَغْتَةً…

Maksudnya:Luqmanul Hakim pernah menasihati anaknya dengan berkata: “Wahai anakku!Janganlah kamu menunda-nunda taubat, sesungguhnya kematian akan datang secara tiba-tiba…”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6802)

Akhir kalam, marilah kita sama-sama memohon kepada Allah SWT agarmengurniakan kepada kita kematian dalam Husnul Khatimah sebagaimana yangselalu didoakan oleh salafus soleh:

اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ

Maksudnya: Ya Allah sudahilah bagi kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan.

AL-KAFI #1277: MANAKAH LEBIH TEPAT DALAM DOA KHATAM AL-QURAN : SEBUTAN NASIINA ATAU NUSSIINA?

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti saya ada kekeliruan, benarkah dalam doa khatam Al-Quran itu, perkataan Nasiina ( نَسِينَا ) sepatutnya dibaca Nussina ( نُسِّينَا ) ? Atau tiada masalah untuk membaca mana-mana daripada salah satu perkataan tersebut ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebagai mukadimah, kami nyatakan terlebih dahulu bacaan doa yang dimaksudkan tersebut:

الّلَهُمَ ارْحَمْنَا بِالْقُرْآن، واجْعَلْهُ لَنَا إمَامَاً وَنُوْرَاً وَهُدَىً ورحمةً الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نسيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار واجْعَلهُ لَنَا حُجَّةٌ يَا ربَّ الْعَالَمِيْن

Maksudnya: Ya Allah rahmatilah kami dengan al-Quran, dan jadikanlah ia sebagai imam, cahaya, petunjuk, serta rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami daripadanya apa yang telah kami dilupakan, dan ajarkan kami darinya apa yang kami jahil serta rezekikanlah kami untuk membacanya siang dan malam, dan jadikanlah ia sebagai hujah kepada kami wahai Tuhan sekalian alam.

Doa ini tidaklah tsabit dalam mana-mana riwayat sebagai doa khatam al-Quran yang warid daripada Rasulullah S.A.W. Meskipun begitu, dari sudut makna-makna yang terkandung di dalam doa ini ia merupakan doa yang amat baik. Justeru, semata-mata pengamalan membaca doa di atas ini berasaskan konsep keumuman berdoa maka ianya adalah dibolehkan.

Bahkan antara waktu yang dianggap sebagai mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T ialah selepas khatam al-Quran. Hal ini dianggap sebagai salah satu bentuk tawassul dengan amal salih. Tsabit bin Qais R.A berkata:

كَانَ أَنَسٌ إِذَا خَتَمَ الْقُرْآنَ جَمَعَ وَلَدَهُ وَأَهَلَ بَيْتِهِ فَدَعَا لَهُمْ

Maksudnya: Adalah Anas apabila mengkhatamkan al-Quran, beliau menghimpunkan anaknya dan ahli keluarganya di rumah beliau kemudian berdoa bagi mereka.

Riwayat al-Darimi (3801)

Imam Al-Nawawi setelah menyebutkan sejumlah riwayat berkenaan kelebihan berdoa selepas khatam al-Quran berkata: “Dan tersangatlah disukai (oleh syarak) akan perbuatan berdoa selepas mengkhatamkan al-Quran sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini”.

Mengulas kepada persoalan berkaitan kalimah نَسِينَا dan نُسِّينَا maka kami katakan dari sudut bahasa arab, perkataan نَسِيتُ (aku lupa) merupakan daripada perbuatan orang yang berkata. Iaitu menunjukkan dia sendiri yang melupakan sesuatu perkara itu. Manakala perkataan أُنسِيتُ  pula dari perbuatan selain dirinya. Dari sudut dia dilupakan oleh selain dirinya.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, terdapat sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 بِئْسَمَا لأَحَدِهِمْ يَقُولُ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ هُوَ نُسِّيَ اسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَلَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ بِعُقُلِهَا

Maksudnya: Sangat buruk bagi salah seorang kamu yang mengatakan bahawa aku lupa ayat sekian dan sekian bahkan dia sebenarnya dilupakan. Berusahalah untuk mengingati Al-Quran, kerana sesungguhnya ia sangat cepat lari dari dada-dada manusia berbanding unta yang terikat dengan talinya.

Riwayat Muslim (790)

Imam Al-Nawawi Rahimahullah meletakkan hadis ini di bawah bab :

الأَمْرِ بِتَعَهُّدِ الْقُرْآنِ وَكَرَاهَةِ قَوْلِ نَسِيتُ آيَةَ كَذَا وَجَوَازِ قَوْلِ أُنْسِيتُهَا

Maksudnya: Perintah untuk memelihara (hafalan) al-Quran dan kemakruhan ucapan ‘’aku lupa ayat sekian’’ dan keharusan untuk menyebut ‘’aku dilupakan ayat sekian’’.

Bahkan kata al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini: ‘’Pada hadis ini menunjukkan kemakruhan ucapan ‘’aku lupa ayat sekian’’ dan ia merupakan makruh tanzih. Dan sesungguhnya tidak dimakruhkan ucapan ‘’aku dilupakan’’. Ini kerana yang dilarang adalah tentang ucapan ‘’aku melupakannya’’ kerana ia mengandungi perbuatan tasahul (mengambil mudah) dan melalaikan al-Quran’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (6/404).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa bacaan yang setepatnya dalam berdoa adalah dengan menyebut:

الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نُسِّيْنَا

Maksudnya: Ya Allah ingatkanlah kami dari al-Quran apa yang kami telah dilupakan akannya.

Ini seperti beberapa hujahan yang kami sebutkan di atas. Manakala dielakkan sebutan nasiina kerana perkataan نَسِيْنَا membawa maksud ‘’kami telah lupakan’’ mengandungi konotasi yang negatif dari sudut ia menunjukkan kepada kita meninggalkan atau mengabaikan al-Quran al-Karim maka ianya dihukum sebagai makruh di sisi para ulama.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

AL-KAFI #1266: PERLUKAH MAKMUM MENYEBUT

SEBUT MASA BANGUN RUKUK.JPG

Soalan

Saya pernah mendengar seorang ustaz mengajar, bahawa bagi makmum, apabila bangun daripada rukuk, tidak perlu menyebut “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” (tasmi’), tapi cukup sekadar menyebut “رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ” (tahmid). Sedangkan saya belajar sejak kecil, makmum perlu menyebut kedua-duanya. Boleh SS Mufti berikan pencerahan?

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Para ulama bersepakat bahawa bagi yang solat sendirian, mereka perlu menyebut lafaz tasmi’ketika bangun dari rukuk, dan tahmid ketika berdiri untuk i’tidal. Kesepakatan ini dinukilkan oleh Imam al-Tahawi dan Imam Ibnu Abd al-Barr (Rujuk Syarh Ma’ani al-Athar 1/240 dan Al-Istizkar 2/178)

Namun para ulama berselisih bagi makmum dan imam. Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’e, disunatkan bagi imam, makmum dan yang solat sendirian untuk menyebut “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” ketika bangun dari rukuk, dan menyebut “رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ” ketika berdiri tegak untuk i’tidal. (Rujuk Raudhah al-Tolibin 1/252)

Dalilnya ialah hadith daripada Abu Hurairah RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَالَ :‏ ‏سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ‏‏‏.‏ قَالَ :‏ ‏اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ‏‏‏

MaksudnyaNabi SAW apabila menyebut “Allah SWT Maha Mendengar sesiapa yang memuji-Nya”, Baginda akan menyebut “Wahai Tuhan, bagi-Mu lah segala pujian”.

Sahih al-Bukhari (795)

Adapun bagi jumhur ulama’, iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, makmum hanya perlu menyebut tahmid sahaja, dan tidak perlu menyebut lafaz tasmi’. (Rujuk Al-Hawi li al-Fatawi 1/35)

Ibn al-Munzir menyatakan bahawa pandangan Imam Syafi’e yang menghimpunkan kedua-dua lafaz ini untuk makmum adalah menyanggahi ijma’ ulama’. Namun menurut Imam al-Ramli, kenyataan ini tertolak, kerana pandangan Imam al-Syafi’e ini turut dipegang oleh Ata’, Ibn Sirin, Ishaq, Abu Burdah dan lain-lain. (Rujuk Nihayah al-Muhtaj1/502)

Dalil jumhur ialah hadith daripada Abu Hurairah RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ‏.‏ فَقُولُوا اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

MaksudnyaImam dijadikan untuk diikuti, maka bertakbirlah ketika dia bertakbir, dan rukuk apabila dia rukuk, dan apabila dia menyebut ‘sami’a Allah liman hamidah’, hendaklah kamu menyebut ‘Allahumma Rabbana laka al-Hamd’.

Riwayat Muslim (417)

Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW menambah:

فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ قَوْلُهُ قَوْلَ الْمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya barangsiapa yang perkataannya berbetulan dengan perkataan para malaikat, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan.

Riwayat al-Tirmizi (267)

Berkenaan hadith ini, Syeikh Zakariyya al-Ansari menyatakan bahawa menyebut tasmi’ memang telah diketahui oleh para sahabat, maka hadith ini difahami dengan erti kata: “Apabila imam bertasmi’, maka hendaklah kalian bertasmi’ seperti yang telah kalian ketahui sebelum ini, dan hendaklah menambah dengan tahmid”. Nabi SAW menyuruh menyebut tahmid kerana kebiasaannya para sahabat tidak mendengarnya kerana Nabi SAW menyebutnya secara perlahan (sirr), dan mereka hanya mendengar kalimah tasmi’ yang dibaca secara kuah (jahar). (Rujuk Asna al-Matolib 1/158)

Tarjih dan kesimpulan

Tuntasnya, kami berpegang kepada pandangan mazhab Syafi’e yang mensunatkan bagi imam, makmum dan yang solat sendirian untuk menyebut “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” ketika bangun dari rukuk, dan menyebut “رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ” ketika berdiri tegak untuk i’tidal, sebagaimana yang tsabit melalui hadith Baginda SAW dan yang dinaskan dalam karangan para ulama mazhab Syafi’e.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam melaksanakan acara ibadat seperti solat dengan sempurnanya. Kekhilafan ulama’ seperti dalam hal ini menjadi khazanah ilmiyah untuk Islam. Betapa sifat keluasan dan tasamuhIslami ketika mengamalinya adalah diizinkan selama mana ia dalam isu cabang atau furu’ dan khilaf tersebut berserta dengan dalil-dalil serta hujah masing-masing.

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

MaksudnyaYa Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.