Category Archives: Irsyad Fatwa Ramadhan

MEMBURU PAHALA IBADAH PADA LAILATUL QADR

Mukadimah

Memburu lailatul qadr yang merupakan sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan adalah satu perbuatan yang dituntut. Kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan untuk meraih pahala beribadah pada malam al-Qadr tersebut. Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadhan kali ini akan mengupas lebih lanjut berkenaan isu ini.

Bilakah Berlakunya Lailatul Qadr ?

Para ulama Islam mengatakan bahawa Lailatul Qadr berlaku pada bulan Ramadhan iaitu pada malam diturunkan padanya al-Quran. Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ

Maksudnya: Bulan Ramadhan yang mana padanya telah diturunkan al-Quran.

Surah al-Baqarah (185)

Begitu juga firman Allah S.W.T yang menyatakan bahawa al-Quran telah diturunkan pada malam al-Qadr iaitu:

إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr.

Surah al-Qadr (1)

Demikian juga firman Allah S.W.T:

إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةٖ مُّبَٰرَكَةٍۚ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.

Surah al-Dukhan (3)

Para ahli tafsir seperti Imam al-Thabari, Imam al-Baghawi, dan juga Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ketiga dari surah al-Dukhan di atas mereka menukilkan pandangan tokoh besar dari kalangan mufassirin seperti Imam Qatadah dan juga Imam Abu Zaid yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang mubarakah (diberkati) tersebut adalah Lailatul Qadr. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir al-Thabari (22/7).

Hari Apakah Dalam Bulan Ramadhan Berlakunya Lailatul Qadr ?

Setelah kita mengetahui bahawasanya Lailatul Qadr berlaku di dalam bulan Ramadhan, maka pada hari apakah ia berlaku di dalam bulan tersebut ? Adakah ia berlaku pada sepuluh malam terawal, sepuluh yang pertengahan, atau sepuluh malam yang terakhir ?

Menjawab persoalan ini, berikut kami kongsikan hadis-hadis yang berkaitan:

Pertama: Daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

تَحَيَّنُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ

Maksudnya: Carilah lailatul qadr itu pada 10 malam yang terakhir (bulan Ramadhan).

Riwayat Muslim (1165)

Kedua: Daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: Carilah kalian lailatul qadr itu pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.

Riwayat al-Bukhari (2017)

Berdasarkan kedua-dua riwayat yang sahih di atas, dapatlah kita faham dan ketahui bahawasanya lailatul qadr itu berlaku pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan dan ia berlaku pada salah satu malam dari malam-malam yang ganjil dalam sepuluh hari terakhir tersebut iaitu 21, 23, 25, 27, serta 29 Ramadhan.

Amalan Amalan Pada 10 Malam Terakhir Bulan Ramadhan

Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi ibadah baginda pada hari-hari yang lain.

Riwayat Muslim (1175)

Di antara amalan yang baginda lakukan adalah sebagaimana yang diriwayatkan juga oleh A’isyah R.anha:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَه وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadhan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).‏

Riwayat al-Bukhari (2024)

Tiga ibadah dalam hadis di atas yang baginda Rasulullah S.A.W lakukan pada sepuluh malam terakhir adalah seperti berikut:

Pertama: Mengetatkan ikatan di pinggang baginda.

Imam al-Hafiz Ibn Rajab Rahimahullah mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perbuatan tersebut ada dua pendapat. Pertamanya ia membawa erti baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. Maksud yang kedua pula adalah Nabi S.A.W meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ibn Rajab mengatakan pendapat yang paling sahih akan maknanya adalah baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 332).

Kedua: Menghidupkan malam.

Yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam ini ada dua kemungkinan:

  • Menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah.
  • Menghidupkan majoriti atau kebanyakan malam dengan ibadah.

Ini kerana, menghidupkan separuh malam juga telah dianggap sebagai menghidupkan malam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).

Sebahagian fuqaha dari kalangan Syafi’eyyah berkata: (Ganjaran) menghidupkan malam itu dapat diperoleh dengan seseorang itu melakukan solat isyak secara berjamaah dan dia berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjamaah.

Begitu juga kata Imam al-Syafie Rahimahullah: Sesiapa yang menghadiri solat isyak dan solat subuh (secara berjamaah) pada lailatul qadr maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam al-qadr). Rujuk Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).

Ketiga: Membangunkan kaum keluarga untuk beribadah.

Ketika masuknya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, baginda S.A.W mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. Bahkan ada riwayat yang menunjukkan bahawa baginda mengetuk pintu Fathimah R.anha dan Ali bin Abi Thalib R.anhu lalu berkata:

أَلَا تَقُومَان فَتُصَلِّيَان

Maksudnya: Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat ?

Riwayat al-Bukhari (1127)

Kelebihan Beribadah Pada Lailatul Qadr

Di antara kelebihan menghidupkan malam al-Qadr dengan ibadah adalah seperti berikut:

Pertama: Dosa-dosa kecil diampunkan.

Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.

Riwayat al-Bukhari (1901)

Yang dimaksudkan dengan qiyam (menghidupkan) di situ adalah dengan menghidupkan malam lailatul qadar dengan ibadah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, berzikir, berdoa, beri’tikaf, membaca al-Quran, bersedekah, dan segala amalan soleh yang lain.

Kedua: Ganjaran amalan melebihi seribu bulan.

Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ

Maksudnya: Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.

Surah al-Qadr (3)

Kata al-Imam Ibrahim al-Nakhaie Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Beramal pada malam tersebut (lailatul qadr) lebih baik daripada beramal pada seribu tahun. Lihat Lathaif al-Maarif, Ibn Rajab (Hlm. 341).

Penutup

Akhir kalam, semoga dengan pencerahan ini sedikit sebanyak dapat memberi galakan kepada kita untuk memperbanyakkan amalan soleh pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dalam usaha kita untuk memburu lailatul qadr. Kami berdoa kepada Allah S.W.T agar Dia merezekikan kepada kita semua ganjaran beribadah pada malam tersebut yang merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan. Ameen.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

1 Julai 2016 bersamaan 26 Ramadhan 1437 H

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN #77: HUKUM BERMESRAAN BERSAMA PASANGAN DI BULAN RAMADHAN

Mukadimah

Di antara persoalan yang sering diajukan berkenaan puasa adalah hukum-hakam yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami dan isteri di siang hari bulan Ramadhan. Di dalam Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadan kali ini kami akan kongsikan beberapa permasalahan yang berkaitan isu tersebut.

Hukum Bercumbuan Dan Bermesraan Semasa Berpuasa

Kata Saidatuna Ummul Mukminin A’isyah R.anha:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium salah seorang dari isteri baginda dalam keadaan baginda sedang berpuasa.

Riwayat Muslim (1106)

Di dalam riwayat yang lain, Saidatuna A’isyah R.anha mengatakan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium dalam keadaan berpuasa dan baginda juga bermesra-mesraan dalam keadaan berpuasa akan tetapi baginda yang paling memiliki anggotanya (menahan nafsu).

Riwayat Abu Daud (2382)

Berdasarkan kedua-dua hadis yang sahih di atas, dapatlah kita ketahui bahawasanya baginda Rasulullah S.A.W juga mencium dan bermesraan dengan isteri baginda.  

Manakala pendapat dalam mazhab al-Imam al-Syafie adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi berikut:

Kami telah nyatakan bahawa mazhab kami adalah makruhnya ia (bercumbuan dan bermesraan) bagi sesiapa yang kuat syahwatnya (teransang). Manakala tidak dimakruhkan bagi selainnya (yang mampu kawal nafsu) dan yang utamanya perbuatan ini ditinggalkan. Sekiranya seseorang yang kuat nafsunya mencium dan tidak keluar air mani maka puasanya tidak batal.

Kata Imam Ibn al-Munzir: (Di antara) yang memberikan kerukhsahan (kelonggaran) dalam mencium ini adalah Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, A’isyah, Atha’, al-Sya’bi, al-Hasan, Ahmad, serta Ishak. Manakala Sa’ad Ibn Abi Waqqas menganggap tiada masalah untuk bermesraan dengan isteri (semasa berpuasa). Ibn Umar pula melarang hal tersebut. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/355).

Seperkara yang perlu kami nyatakan, sekiranya seseorang itu bermesra-mesraan dengan isterinya pada bahagian selain faraj lalu terkeluar maninya, ataupun dia bercumbuan dan keluar air mani maka batallah puasanya. Sekiranya tidak keluar mani maka puasanya tidak batal.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saiduna Umar Ibn al-Khattab beliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ ‏ قَالَ ‏‏أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ

Maksudnya: Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium dalam keadaan aku berpuasa. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa ?

Riwayat Abu Daud (2385)

Ketika mengulas hadis ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Baginda S.A.W mengumpamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur. Dan telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur lalu air sampai ke dalam rongganya maka itu membatalkan puasa. Sekiranya air tidak sampai maka ia tidak membatalkan. Begitu jugalah dengan mencium. Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/321).

Hukum Persetubuhan Di Siang Hari Bulan Ramadhan

Bersama dengan pasangan di siang hari bulan Ramadhan adalah haram hukumnya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم

Maksudnya: Telah di halalkan buat kalian pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kalian.

Surah al-Baqarah (187)

Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul feqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan.

Maka apabila Allah mengatakan telah halal bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala yang difahami dari ayat ini (mafhum) adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.

Kesan Bagi Sesiapa Yang Bersetubuh Di Siang Hari Ramadhan

Sesiapa yang bersama dengan pasangannya di siang hari bulan Ramadhan, maka kesan dari perbuatan tersebut adalah:

Pertama: Puasanya batal dan wajib qadha (ganti) ke atas keduanya. Ini kerana perbuatan bersetubuh dengan isteri di siang hari bulan Ramadhan termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Ia berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ

Maksudnya: Dan berpuasalah pada hari yang lain menggantikan hari tersebut.

Riwayat Ibn Majah (1671)

Kedua: Sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadhan maka dia dikenakan kaffarah seperti berikut secara tartib (mengikut urutan):

  • Membebaskan seorang hamba.
  • Berpuasa dua bulan berturut-turut.
  • Memberi makan kepada 60 orang miskin.

Ini adalah berdasarkan kisah seorang arab badwi yang datang menemui Rasulullah S.A.W sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Abu Hurairah yang berikut:

أَتَى النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ رَجُلٌ فَقَالَ هَلَكْتُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ وَمَا أَهْلَكَكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ‏”‏ أَعْتِقْ رَقَبَةً ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ أَجِدُهَا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ صُمْ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ أُطِيقُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَطْعِمْ سِتِّينَ مِسْكِينًا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ أَجِدُ

Maksudnya: Seorang lelaki telah datang kepada Nabi S.A.W lalu dia mengatakan: “Aku telah binasa”. Lalu Rasulullah berkata: “Apa yang menyebabkan kamu binasa ?”. Maka lelaki itu menjawab: “Aku telah bersama dengan isteriku pada bulan Ramadhan”. Maka Nabi S.A.W bersabda: “Bebaskanlah seorang hamba”. Lelaki itu menjawab: “Aku tidak memilikinya”. Baginda bersabda lagi: “Puasalah selama dua bulan berturut-turut”. Lalu lelaki itu mengatakan: “Aku tidak mampu”. Kata Baginda lagi: “Berilah makan kepada 60 orang miskin”. Maka jawab lelaki itu: “Aku tidak memiliki sesuatu untuk diberi makan”.

Riwayat al-Bukhari (1936)

Adakah Beronani Membatalkan Puasa ?

Jumhur ulama mazhab yang empat mengatakan bahawa perbuatan beronani atau mengeluarkan mani dengan sengaja itu membatalkan puasa. Inilah juga yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah. Lihat Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/356).

Ini adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anhu yang mana Rasulullah S.A.W bersabda:

 يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي

Maksudnya: Dia (orang yang berpuasa itu) meninggalkan makanannya, minumannya, serta syahwatnya kerana Aku.

Riwayat al-Bukhari (1894)

Sebagaimana makan dan minum membatalkan puasa, begitulah juga perbuatan seseorang yang mendatangi syahwatnya dengan cara beronani turut membatalkan puasa.

Demikian juga kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Sesungguhnya kami telah sebutkan bahawasanya seorang lelaki itu apabila dia mengeluarkan air mani dengan sengaja maka batallah puasanya dan tiada kaffarah ke atasnya. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/342).

Keluar Mani Secara Tidak Sengaja Membatalkan Puasa ?

Dalam beberapa keadaan, boleh jadi seseorang lelaki itu keluar air maninya selain dari sebab mencium dan bermesraan dengan isteri.

Di dalam kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, penulisnya menyebut tentang dua keadaan keluar air mani tetapi tidak membatalkan puasa:

  • Jika seseorang lelaki memandang, talazzuz (bersedap-sedap), lalu terkeluar air mani maka itu tidak membatalkan puasa.
  • Jika seseorang bermimpi di siang hari bulan puasa lalu terkeluar air maninya maka itu juga tidak membatalkan puasa.

Kedua-dua ini tidak membatalkan puasa kerana terpancutnya air mani itu bukan disebabkan oleh mubasyarah (dengan usaha). Inilah pendapat yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi. Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (6/321).

Penutup

Akhir kalam, semoga penjelasan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami isu ini. Ameen.

Akhukum Fillah

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

23 JUN 2016 BERSAMAAN 18 RAMADHAN 1437 H

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN #76: ADAKAH BERMULANYA PUASA SETELAH MASUK WAKTU IMSAK?

Soalan:

Umum mengetahui bahawa waktu imsak masuk 10 minit sebelum waktu subuh. Adakah dengan masuknya waktu imsak tersebut maka kita tidak lagi boleh untuk makan dan minum kerana telah bermulanya puasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Diantara perkara-perkara sunat di dalam berpuasa adalah dengan mengakhirkan bersahur. Mengakhirkan di sini bermakna melewatkan proses bersahur tersebut. Seperti yang kita maklum, di Malaysia, masuknya waktu imsak adalah 10 minit sebelum masuknya waktu subuh. Terkadang timbulnya persoalan dan kekeliruan adakah waktu imsak itu waktu bermulanya puasa. Untuk membincangkan isu ini mari sama-sama kita renungi firman Allah SWT ini:

وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِۚ

Maksudnya: dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)

(Al-Baqarah: 187)

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa ayat di atas memberi kebenaran untuk makan dan minum sehingga ternampaknya cahaya subuh (fajar sadiq) dari kegelapan malam.[1]

Terdapat beberapa hadith yang lain menceritakan tentang sifat sahur Nabi ﷺ serta arahan Baginda ketika bersahur, antaranya:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟  قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً.

Maksudnya: Kami telah bersahur  bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.

Riwayat Al-Bukhari (1921) & Al-Tirmizi (703)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di mengatakan kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana. Tidaklah ayat yang penjang, tidak juga ayat yang  terlalu pendek.[2]

Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktum”.

Riwayat al-Bukhari (620)

Ketika zaman Rasulullah ﷺ , azan subuh dilaungkan sebanyak dua kali. Sekali sebelum masuknya waktu subuh untuk memberikan peringatan manakala azan yang kedua bermaksud telah masuknya waktu subuh. Berdasarkan hadith di atas, Bilal RA azan pada waktu malam menunjukkan bahawa beliau melaungkan azan yang pertama iaitu sebelum masuknya waktu subuh (diiktibarkan pada waktu malam). Maka, Rasulullah ﷺ memberikan keizinan untuk makan dan minum pada waktu tersebut (untuk bersahur). Sekiranya telah azan Ibn Umm Maktum RA untuk azan yang kedua, maka ia menunjukkan bahawa waktu subuh telah masuk dan telah bermulanya waktu berpuasa. Iktibarnya di sini adalah masuknya waktu iaitu terbitnya fajar al-sadiq dengan berkumandangnya azan.

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ menyebutkan:

“Telah kami sebutkan sekiranya telah terbit fajar dan padanya (di dalam mulutnya) terdapat makanan, maka perlu dia mengeluarkan makanan tersebut dan kemudian sempurnakan puasanya. Sekiranya dia menelan apa yang ada di dalam mulutnya itu, setelah mengetahui terbitnya fajar al-sadiq, maka batallah puasanya. Dalilnya adalah hadith daripada Ibn ‘Umar dan ‘Aisyah R.Anhum yang mana Rasulullah bersabda: إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ (hadith seperti di atas)…”.[3]

Kesimpulan

Setelah melihat kepada dalil serta nas yang terdapat di dalam perbahasan ini, kami katakan di sini bahawa waktu imsak (10 minit sebelum masuknya waktu subuh) bukanlah waktu bermulanya puasa. Maka pada tempoh tersebut dibolehkan lagi untuk makan dan minum. Namun, sekiranya telah kedengaran azan subuh, maka hendaklah berhenti serta merta dan kemudian sempurnakan puasa tersebut sehingga masuk waktu berbuka.

Kami melihat bahawa waktu imsak yang selama 10 minit itu ada asasnya sebagai waktu untuk ihtiyat (berjaga-jaga) agar tidak makan melebihi waktu yang telah ditetapkan yang mana boleh membatalkan puasa seseorang itu. Kami amat bersetuju dengan waktu imsak ini dan sekiranya seseorang yang bangun lewat untuk bersahur dan masa masih berbaki untuk beliau bersahur di dalam waktu imsak, maka ianya dibolehkan dan ianya tidak pula memudharatkan puasanya pada hari tersebut. Oleh itu, kami mencadangkan agar sahur itu diselesaikan sebelum masuknya waktu iaitu sebelum azan agar tidak timbul syubhah (keraguan).

Akhir kalam, suka untuk kami menyebutkan  antara hikmah mengapa disunatkan untuk melewatkan sahur itu, agar muslim khususnya lelaki dapat terus bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh yang mana jika seseorang itu mengawalkan sahurnya, boleh jadi dia akan tidur sejurus selepas bersahur dan kebarangkalian untuk dia terlepas waktu subuh amat besar. Amat tidak patut bagi seseorang muslim itu mengejar yang sunat namun meninggalkan perkara yang wajib.

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

20 Jun 2016 bersamaan 15 Ramadhan 1437H

[1] Tafsir al-Quran al-‘Azim (1/512)

[2] Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (4/138)

[3] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/333)