Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Akhir zaman menyaksikan begitu banyak fitnah dan penipuan berleluasa. Ada pihak yang tuduh menuduh tanpa bukti yang kukuh dan ada pihak yang begitu dangkal mempercayai berita yang tiada pucuk pangkalnya. Nabi SAW pernah memberikan amaran kepada sesiapa yang suka bercakap tentang perkara yang tidak diketahui kebenarannya. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda :
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِق
Maksudnya :” Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.”
Riwayat Al-Bukhari (6477)
Di dalam riwayat yang lain menyebut bahawa Nabi SAW bersabda :
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ
Maksudnya :”Seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang diredhai Allah yang mana dia tidak terlintas (untuk bercakap tentangnya) maka Allah akan mengangkat darjatnya. Manakala seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang dimurkai Allah yang dia sendiri tidak terlintas (untuk bercakap tentangnya dan tidak dipastikan kebenarannya) maka dia akan terjatuh ke dalam neraka Jahannam.”
Riwayat Al-Bukhari (6478)
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan pandangan Ibnu Battal ketika mensyarahkan hadis ini.Ibnu Battal menyatakan hadis ini memberikan isyarat bahawa di antara ujian yang paling besar ke atas manusia adalah lidah dan kemaluannya. Sesiapa yang menjaga dari dua perkara tersebut maka dia telah menjaga dirinya daripada ditimpa kejahatan yang paling besar. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 11/308)
Oleh itu, amat penting untuk mendepani fitnah-fitnah yang berlaku sesuai dengan cara yang telah ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi SAW. Ini supaya fitnah-fitnah tersebut dapat dihadapi dengan penuh tertib, berhati-hati serta tidak melampaui batas sehingga tidak membelakangi panduan yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.
Justeru itu, Bayan Linnas pada kali ini akan mengupas tentang satu peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Nabi SAW iaitu peristiwa Al-Ifki (tuduhan dusta terhadap Aisyah). Kita dapat melihat bagaimana Nabi SAW menguruskan dan mendepani konflik fitnah yang berlaku pada ketika itu. Semoga Bayan Linnas pada kali ini mampu memberikan pencerahan kepada umat Islam keseluruhannya seterusnya menjadikannya pedoman dalam menghadapi tribulasi dan mehnah kehidupan.
Latar belakang peristiwa al-ifki.
Dari segi bahasa, Al-Ifki merupakan perkataan bahasa arab yang berasal dari perkataan أَفِكَ. Ianya mempunyai beberapa makna. Di antaranya adalah apa yang disebutkan oleh Al-Raghib Al-Asfahani[1]. Beliau menyebut perkataan أَفِكَ bermaksud memalingkan iktikad yang betul kepada iktikad yang batil. Dipalingkan daripada bercakap benar kepada bercakap bohong.Ia juga membawa makna dipalingkan daripada perbuatan yang baik kepada perbuatan yang keji. Penggunaan perkataan أَفِكَ dengan makna yang disebutkan oleh Al-Raghib Al-Asfahani banyak digunakan di dalam Al-Quran. Di antaranya adalah di dalam Surah Al-Zariyat ayat 9. Firman Allah :
يُؤْفَكُ عَنْهُ مَنْ أُفِكَ
Maksudnya :”Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran).
Begitu juga firman Allah di dalam Surah Al-Ahqaf ayat 22 :
قَالُوٓا۟ أَجِئْتَنَا لِتَأْفِكَنَا عَنْ ءَالِهَتِنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ
Maksudnya :”Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”
Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Jathiyah ayat 7 :
وَيْلٌ لِّكُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ
Maksudnya :” Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa.”
Perkataan ini juga digunakan untuk menyifatkan berita yang dibawa oleh kaum munafik ketika mana mereka menyebarkan fitnah tentang Aisyah. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Nur ayat 11 :
إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ
Maksudnya :” Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu.”
Secara ringkasnya perkataan الإِفْك membawa maksud dusta, bohong, sifat yang keji dan memalingkan orang ramai dari kebenaran kepada penipuan nista.
Peristiwa Al-Ifki ini berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustoliq. Ianya merupakan satu peristiwa di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah R.Anha melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol R.A. Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu. Ada di antara sahabat yang tidak mempercayai berita tersebut. Ada juga yang tidak mengeluarkan apa-apa pendirian dan ada juga yang mempercayai bahawa Aisyah R.Anha benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol.Di antara sahabat yang mempercayai berita ini dan terlibat dalam penyebaran ialah Mistoh Bin Uthathah,Hammanah Binti Jahsyi dan Hasan Bin Thabit. Keadaan ini berlarutan sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah kemudiannya Allah menurunkan ayat ke 11 daripada Surah Al-Nur membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik. Firman Allah SWT :
إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: ” Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”
Aisyah menceritakan secara terperinci peristiwa yang berlaku
Sedia maklum bahawa ayat ke 11 daripada Surah al-Nur diturunkan untuk membebaskan Aisyah R.Anha daripada tuduhan keji dan jahat kaum munafik. Peristiwa ini telah pun diceritakan oleh Aisyah R.Anha sendiri secara terperinci dan panjang.Kisah ini terlalu masyhur dan ianya diceritakan di dalam kebanyakan kitab hadis yang muktabar. Antaranya Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Al-Nasaie, Al-Sunan Al-Kubra oleh Imam Al-Baihaqi dan lain-lain lagi. Pada asasnya kisah ini diriwayatkan oleh empat orang daripada Aisyah R.Anha. Mereka ialah Ubaidullah Bin Abdullah Bin Utbah Bin Mas’ud, Urwah Bin Zubair, Sa’id Bin Musayyib dan Alqamah Bin Waqqas. Walaupun mereka meriwayatkan daripada Aisyah R.Anha dengan lafaz yang berbeza namun ianya mengandungi makna yang sama.
Di antara yang masyhur adalah lafaz yang dinukilkan oleh Imam Al-Bukhari dengan sanadnya sendiri di dalam kitab sahihnya. Imam Al-Bukhari[2] menyebut :
Abu Rabi’ Sulaiman Bin Daud menceritakan kepada kami : Sebahagian cerita ini dijelaskan lagi oleh Ahmad : Fulaih Bin Sulaiman menceritakan kepada kami daripada Ibnu Syihab Al-Zuhri daripada Urwah Bin Zubair,Sa’id Bin Musayyib, Ubaidullah Bin Abdullah Bin Utbah dan Alqamah Bin Waqqas Al-Laithi daripada Aisyah R.Anha yang merupakan isteri kepada Baginda Nabi SAW ketika mana beliau ditanya oleh orang ramai tentang apa yang diperkatakan pada ketika yang mana kemudiannya Aisyah R.Anha dibebaskan daripada tuduhan tersebut. Kata Aisyah R.Anha :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَخْرُجَ سَفَرًا أَقْرَعَ بَيْنَ أَزْوَاجِهِ فَأَيَّتُهُنَّ خَرَجَ سَهْمُهَا خَرَجَ بِهَا مَعَهُ فَأَقْرَعَ بَيْنَنَا فِي غَزَاةٍ غَزَاهَا فَخَرَجَ سَهْمِي فَخَرَجْتُ مَعَهُ بَعْدَ مَا أُنْزِلَ الْحِجَابُ فَأَنَا أُحْمَلُ فِي هَوْدَجٍ وَأُنْزَلُ فِيهِ فَسِرْنَا حَتَّى إِذَا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غَزْوَتِهِ تِلْكَ وَقَفَلَ وَدَنَوْنَا مِنْ الْمَدِينَةِ آذَنَ لَيْلَةً بِالرَّحِيلِ فَقُمْتُ حِينَ آذَنُوا بِالرَّحِيلِ فَمَشَيْتُ حَتَّى جَاوَزْتُ الْجَيْشَ فَلَمَّا قَضَيْتُ شَأْنِي أَقْبَلْتُ إِلَى الرَّحْلِ فَلَمَسْتُ صَدْرِي فَإِذَا عِقْدٌ لِي مِنْ جَزْعِ أَظْفَارٍ قَدْ انْقَطَعَ فَرَجَعْتُ فَالْتَمَسْتُ عِقْدِي فَحَبَسَنِي ابْتِغَاؤُهُ فَأَقْبَلَ الَّذِينَ يَرْحَلُونَ لِي فَاحْتَمَلُوا هَوْدَجِي فَرَحَلُوهُ عَلَى بَعِيرِي الَّذِي كُنْتُ أَرْكَبُ وَهُمْ يَحْسِبُونَ أَنِّي فِيهِ وَكَانَ النِّسَاءُ إِذْ ذَاكَ خِفَافًا لَمْ يَثْقُلْنَ وَلَمْ يَغْشَهُنَّ اللَّحْمُ وَإِنَّمَا يَأْكُلْنَ الْعُلْقَةَ مِنْ الطَّعَامِ فَلَمْ يَسْتَنْكِرْ الْقَوْمُ حِينَ رَفَعُوهُ ثِقَلَ الْهَوْدَجِ فَاحْتَمَلُوهُ وَكُنْتُ جَارِيَةً حَدِيثَةَ السِّنِّ فَبَعَثُوا الْجَمَلَ وَسَارُوا فَوَجَدْتُ عِقْدِي بَعْدَ مَا اسْتَمَرَّ الْجَيْشُ فَجِئْتُ مَنْزِلَهُمْ وَلَيْسَ فِيهِ أَحَدٌ فَأَمَمْتُ مَنْزِلِي الَّذِي كُنْتُ بِهِ فَظَنَنْتُ أَنَّهُمْ سَيَفْقِدُونَنِي فَيَرْجِعُونَ إِلَيَّ فَبَيْنَا أَنَا جَالِسَةٌ غَلَبَتْنِي عَيْنَايَ فَنِمْتُ وَكَانَ صَفْوَانُ بْنُ الْمُعَطَّلِ السُّلَمِيُّ ثُمَّ الذَّكْوَانِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْجَيْشِ فَأَصْبَحَ عِنْدَ مَنْزِلِي فَرَأَى سَوَادَ إِنْسَانٍ نَائِمٍ فَأَتَانِي وَكَانَ يَرَانِي قَبْلَ الْحِجَابِ فَاسْتَيْقَظْتُ بِاسْتِرْجَاعِهِ حِينَ أَنَاخَ رَاحِلَتَهُ فَوَطِئَ يَدَهَا فَرَكِبْتُهَا فَانْطَلَقَ يَقُودُ بِي الرَّاحِلَةَ حَتَّى أَتَيْنَا الْجَيْشَ بَعْدَ مَا نَزَلُوا مُعَرِّسِينَ فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ فَهَلَكَ مَنْ هَلَكَ وَكَانَ الَّذِي تَوَلَّى الْإِفْكَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَيٍّ ابْنُ سَلُولَ فَقَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَاشْتَكَيْتُ بِهَا شَهْرًا وَالنَّاسُ يُفِيضُونَ مِنْ قَوْلِ أَصْحَابِ الْإِفْكِ وَيَرِيبُنِي فِي وَجَعِي أَنِّي لَا أَرَى مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللُّطْفَ الَّذِي كُنْتُ أَرَى مِنْهُ حِينَ أَمْرَضُ إِنَّمَا يَدْخُلُ فَيُسَلِّمُ ثُمَّ يَقُولُ كَيْفَ تِيكُمْ لَا أَشْعُرُ بِشَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ حَتَّى نَقَهْتُ فَخَرَجْتُ أَنَا وَأُمُّ مِسْطَحٍ قِبَلَ الْمَنَاصِعِ مُتَبَرَّزُنَا لَا نَخْرُجُ إِلَّا لَيْلًا إِلَى لَيْلٍ وَذَلِكَ قَبْلَ أَنْ نَتَّخِذَ الْكُنُفَ قَرِيبًا مِنْ بُيُوتِنَا وَأَمْرُنَا أَمْرُ الْعَرَبِ الْأُوَلِ فِي الْبَرِّيَّةِ أَوْ فِي التَّنَزُّهِ فَأَقْبَلْتُ أَنَا وَأُمُّ مِسْطَحٍ بِنْتُ أَبِي رُهْمٍ نَمْشِي فَعَثَرَتْ فِي مِرْطِهَا فَقَالَتْ تَعِسَ مِسْطَحٌ فَقُلْتُ لَهَا بِئْسَ مَا قُلْتِ أَتَسُبِّينَ رَجُلًا شَهِدَ بَدْرًا فَقَالَتْ يَا هَنْتَاهْ أَلَمْ تَسْمَعِي مَا قَالُوا فَأَخْبَرَتْنِي بِقَوْلِ أَهْلِ الْإِفْكِ فَازْدَدْتُ مَرَضًا عَلَى مَرَضِي فَلَمَّا رَجَعْتُ إِلَى بَيْتِي دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَلَّمَ فَقَالَ كَيْفَ تِيكُمْ فَقُلْتُ ائْذَنْ لِي إِلَى أَبَوَيَّ قَالَتْ وَأَنَا حِينَئِذٍ أُرِيدُ أَنْ أَسْتَيْقِنَ الْخَبَرَ مِنْ قِبَلِهِمَا فَأَذِنَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَيْتُ أَبَوَيَّ فَقُلْتُ لِأُمِّي مَا يَتَحَدَّثُ بِهِ النَّاسُ فَقَالَتْ يَا بُنَيَّةُ هَوِّنِي عَلَى نَفْسِكِ الشَّأْنَ فَوَاللَّهِ لَقَلَّمَا كَانَتْ امْرَأَةٌ قَطُّ وَضِيئَةٌ عِنْدَ رَجُلٍ يُحِبُّهَا وَلَهَا ضَرَائِرُ إِلَّا أَكْثَرْنَ عَلَيْهَا فَقُلْتُ سُبْحَانَ اللَّهِ وَلَقَدْ يَتَحَدَّثُ النَّاسُ بِهَذَا قَالَتْ فَبِتُّ تِلْكَ اللَّيْلَةَ حَتَّى أَصْبَحْتُ لَا يَرْقَأُ لِي دَمْعٌ وَلَا أَكْتَحِلُ بِنَوْمٍ ثُمَّ أَصْبَحْتُ فَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ وَأُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ حِينَ اسْتَلْبَثَ الْوَحْيُ يَسْتَشِيرُهُمَا فِي فِرَاقِ أَهْلِهِ فَأَمَّا أُسَامَةُ فَأَشَارَ عَلَيْهِ بِالَّذِي يَعْلَمُ فِي نَفْسِهِ مِنْ الْوُدِّ لَهُمْ فَقَالَ أُسَامَةُ أَهْلُكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا نَعْلَمُ وَاللَّهِ إِلَّا خَيْرًا وَأَمَّا عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ يُضَيِّقْ اللَّهُ عَلَيْكَ وَالنِّسَاءُ سِوَاهَا كَثِيرٌ وَسَلْ الْجَارِيَةَ تَصْدُقْكَ فَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَرِيرَةَ فَقَالَ يَا بَرِيرَةُ هَلْ رَأَيْتِ فِيهَا شَيْئًا يَرِيبُكِ فَقَالَتْ بَرِيرَةُ لَا وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ إِنْ رَأَيْتُ مِنْهَا أَمْرًا أَغْمِصُهُ عَلَيْهَا قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ أَنَّهَا جَارِيَةٌ حَدِيثَةُ السِّنِّ تَنَامُ عَنْ الْعَجِينِ فَتَأْتِي الدَّاجِنُ فَتَأْكُلُهُ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَوْمِهِ فَاسْتَعْذَرَ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أُبَيٍّ ابْنِ سَلُولَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَعْذُرُنِي مِنْ رَجُلٍ بَلَغَنِي أَذَاهُ فِي أَهْلِي فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَى أَهْلِي إِلَّا خَيْرًا وَقَدْ ذَكَرُوا رَجُلًا مَا عَلِمْتُ عَلَيْهِ إِلَّا خَيْرًا وَمَا كَانَ يَدْخُلُ عَلَى أَهْلِي إِلَّا مَعِي فَقَامَ سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا وَاللَّهِ أَعْذُرُكَ مِنْهُ إِنْ كَانَ مِنْ الْأَوْسِ ضَرَبْنَا عُنُقَهُ وَإِنْ كَانَ مِنْ إِخْوَانِنَا مِنْ الْخَزْرَجِ أَمَرْتَنَا فَفَعَلْنَا فِيهِ أَمْرَكَ فَقَامَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ وَهُوَ سَيِّدُ الْخَزْرَجِ وَكَانَ قَبْلَ ذَلِكَ رَجُلًا صَالِحًا وَلَكِنْ احْتَمَلَتْهُ الْحَمِيَّةُ فَقَالَ كَذَبْتَ لَعَمْرُ اللَّهِ لَا تَقْتُلُهُ وَلَا تَقْدِرُ عَلَى ذَلِكَ فَقَامَ أُسَيْدُ بْنُ حُضَيْرٍ فَقَالَ كَذَبْتَ لَعَمْرُ اللَّهِ وَاللَّهِ لَنَقْتُلَنَّهُ فَإِنَّكَ مُنَافِقٌ تُجَادِلُ عَنْ الْمُنَافِقِينَ فَثَارَ الْحَيَّانِ الْأَوْسُ وَالْخَزْرَجُ حَتَّى هَمُّوا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَنَزَلَ فَخَفَّضَهُمْ حَتَّى سَكَتُوا وَسَكَتَ وَبَكَيْتُ يَوْمِي لَا يَرْقَأُ لِي دَمْعٌ وَلَا أَكْتَحِلُ بِنَوْمٍ فَأَصْبَحَ عِنْدِي أَبَوَايَ وَقَدْ بَكَيْتُ لَيْلَتَيْنِ وَيَوْمًا حَتَّى أَظُنُّ أَنَّ الْبُكَاءَ فَالِقٌ كَبِدِي قَالَتْ فَبَيْنَا هُمَا جَالِسَانِ عِنْدِي وَأَنَا أَبْكِي إِذْ اسْتَأْذَنَتْ امْرَأَةٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَأَذِنْتُ لَهَا فَجَلَسَتْ تَبْكِي مَعِي فَبَيْنَا نَحْنُ كَذَلِكَ إِذْ دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَلَسَ وَلَمْ يَجْلِسْ عِنْدِي مِنْ يَوْمِ قِيلَ فِيَّ مَا قِيلَ قَبْلَهَا وَقَدْ مَكَثَ شَهْرًا لَا يُوحَى إِلَيْهِ فِي شَأْنِي شَيْءٌ قَالَتْ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ يَا عَائِشَةُ فَإِنَّهُ بَلَغَنِي عَنْكِ كَذَا وَكَذَا فَإِنْ كُنْتِ بَرِيئَةً فَسَيُبَرِّئُكِ اللَّهُ وَإِنْ كُنْتِ أَلْمَمْتِ بِذَنْبٍ فَاسْتَغْفِرِي اللَّهَ وَتُوبِي إِلَيْهِ فَإِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَقَالَتَهُ قَلَصَ دَمْعِي حَتَّى مَا أُحِسُّ مِنْهُ قَطْرَةً وَقُلْتُ لِأَبِي أَجِبْ عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ لِأُمِّي أَجِيبِي عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا قَالَ قَالَتْ وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ وَأَنَا جَارِيَةٌ حَدِيثَةُ السِّنِّ لَا أَقْرَأُ كَثِيرًا مِنْ الْقُرْآنِ فَقُلْتُ إِنِّي وَاللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُ أَنَّكُمْ سَمِعْتُمْ مَا يَتَحَدَّثُ بِهِ النَّاسُ وَوَقَرَ فِي أَنْفُسِكُمْ وَصَدَّقْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ قُلْتُ لَكُمْ إِنِّي بَرِيئَةٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنِّي لَبَرِيئَةٌ لَا تُصَدِّقُونِي بِذَلِكَ وَلَئِنْ اعْتَرَفْتُ لَكُمْ بِأَمْرٍ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَنِّي بَرِيئَةٌ لَتُصَدِّقُنِّي وَاللَّهِ مَا أَجِدُ لِي وَلَكُمْ مَثَلًا إِلَّا أَبَا يُوسُفَ إِذْ قَالَ {فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ} ثُمَّ تَحَوَّلْتُ عَلَى فِرَاشِي وَأَنَا أَرْجُو أَنْ يُبَرِّئَنِي اللَّهُ وَلَكِنْ وَاللَّهِ مَا ظَنَنْتُ أَنْ يُنْزِلَ فِي شَأْنِي وَحْيًا وَلَأَنَا أَحْقَرُ فِي نَفْسِي مِنْ أَنْ يُتَكَلَّمَ بِالْقُرْآنِ فِي أَمْرِي وَلَكِنِّي كُنْتُ أَرْجُو أَنْ يَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي النَّوْمِ رُؤْيَا يُبَرِّئُنِي اللَّهُ فَوَاللَّهِ مَا رَامَ مَجْلِسَهُ وَلَا خَرَجَ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِ الْبَيْتِ حَتَّى أُنْزِلَ عَلَيْهِ الْوَحْيُ فَأَخَذَهُ مَا كَانَ يَأْخُذُهُ مِنْ الْبُرَحَاءِ حَتَّى إِنَّهُ لَيَتَحَدَّرُ مِنْهُ مِثْلُ الْجُمَانِ مِنْ الْعَرَقِ فِي يَوْمٍ شَاتٍ فَلَمَّا سُرِّيَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَضْحَكُ فَكَانَ أَوَّلَ كَلِمَةٍ تَكَلَّمَ بِهَا أَنْ قَالَ لِي يَا عَائِشَةُ احْمَدِي اللَّهَ فَقَدْ بَرَّأَكِ اللَّهُ فَقَالَتْ لِي أُمِّي قُومِي إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ لَا وَاللَّهِ لَا أَقُومُ إِلَيْهِ وَلَا أَحْمَدُ إِلَّا اللَّهَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ} الْآيَاتِ فَلَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ هَذَا فِي بَرَاءَتِي قَالَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَانَ يُنْفِقُ عَلَى مِسْطَحِ بْنِ أُثَاثَةَ لِقَرَابَتِهِ مِنْهُ وَاللَّهِ لَا أُنْفِقُ عَلَى مِسْطَحٍ شَيْئًا أَبَدًا بَعْدَ مَا قَالَ لِعَائِشَةَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا إِلَى قَوْلِهِ غَفُورٌ رَحِيمٌ} فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ بَلَى وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لِي فَرَجَعَ إِلَى مِسْطَحٍ الَّذِي كَانَ يُجْرِي عَلَيْهِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُ زَيْنَبَ بِنْتَ جَحْشٍ عَنْ أَمْرِي فَقَالَ يَا زَيْنَبُ مَا عَلِمْتِ مَا رَأَيْتِ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحْمِي سَمْعِي وَبَصَرِي وَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَيْهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَتْ وَهِيَ الَّتِي كَانَتْ تُسَامِينِي فَعَصَمَهَا اللَّهُ بِالْوَرَعِ
Sekilas berkaitan peristiwa al-ifki
Pada kebiasaaannya, apabila Rasulullah SAW pergi keluar untuk berperang atau bermusafir, Baginda SAW akan membuat undian bagi isteri-isteri Baginda SAW bagi memilih siapa dalam kalangan mereka yang akan menemani Baginda SAW dalam permusafiran tersebut. Pada ketika permusafiran Baginda SAW ke peperangan Bani Mustaliq tersebut, undian tersebut memihak kepada Saidatina Aisyah R.Anha dan beliau terpilih untuk menemani Baginda SAW.
Dalam perjalanan pulang daripada peperangan tersebut, Baginda SAW dan tentera Islam berhenti seketika di satu tempat yang tidak jauh daripada Madinah al-Munawwarah dan bermalam di situ. Apabila rombongan berhenti di situ, maka Saidatina Aisyah R.Anha keluar bagi menunaikan hajatnya dengan memakai rantai di lehernya. Setelah dia pulang daripada menunaikan hajat, dia mendapati rantai di lehernya hilang tanpa disedari olehnya. Oleh itu, dia kembali ke tempat itu semula untuk mencari rantai yang hilang tersebut.
Dalam ketika dia mencari rantainya yang hilang, rombongan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW tersebut telah bersiap untuk bertolak pulang ke Madinah al-Munawwarah. Haudaj iaitu yang dibina untuk membawa Saidatina Aisyah di atas unta tersebut diangkat oleh para Sahabat tanpa menyedari bahawa Saidatina Aisyah tiada di dalamnya. Ini kerana keadaan fizikal Saidatina Aisyah yang kecil dan ringan menyebabkan para Sahabat tidak dapat membezakan bahawa Saidatina Aisyah ada di dalamnya ataupun tidak. Lantas, apabila rombongan tersebut mendengar sahaja panggilan untuk bergerak, mereka terus berangkat tanpa memeriksa haudaj tersebut.
Apabila Saidatina Aisyah kembali ke tempat rombongan tadi berada, dia mendapati bahawa rombongan tersebut telah pun beredar menuju ke Madinah. Lalu dia duduk dan terbaring di situ dengan membungkuskan dirinya dengan kain jilbabnya. Ini kerana apabila rombongan tersebut menyedari ketiadaan Saidatina Aisyah R.Anha, mereka akan kembali mencarinya di tempat tersebut.
Dalam keadaan Saidatina Aisyah seperti itu, maka selepas itu datang Saidina Safwan Ibn al-Mu’atthil al-Sulami RA yang ketinggalan di belakang kerana melaksanakan tugasannya. Apabila beliau sampai di tempat rombongan Rasulullah SAW tadi berada, beliau mendapati ada sebuah benda yang disangkanya barang yang tertinggal daripada rombongan Rasulullah SAW. Lalu beliau datang mendekati benda tersebut dan mendapati bahawa itu ialah isteri Baginda SAW, Saidatina Aisyah R.Anha. Beliau bertanya, apakah yang menyebabkan dia tertinggal, namun Saidatina Aisyah tidak menjawabnya. Beliau pun mendekatkan kuda kepada Saidatina Aisyah R.Anha untuk dia naik menunggangi kuda. Kemudian dia naik ke atas kuda tersebut dan Saidina Safwan menarik kepala kuda tersebut dan bertolak dengan segera menuju kepada rombongan yang telah beredar tersebut.
Fitnah ini merupakan satu peristiwa yang sangat pahit untuk dihadapi oleh Ummu al-Mukminin Aisyah R.Anha. Ia menimpa rumah tangga dan keluarga manusia yang paling mulia, iaitu Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga sahabat terdekat baginda SAW iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA. Fitnah ini berlarutan selama sebulan.
Walaubagaimanapun, Aisyah R.Anha tidak tahu-menahu walaupun sedikit berkaitan fitnah yang telah tersebar mengenai kesucian maruahnya tersebut. Dia hanya merasai perubahan sikap dan suasana disekelilingnya dan juga perubahan yang ada pada Rasulullah SAW setelah kepulangannya daripada peperangan Bani Mustaliq.
Saidatina Aisyah R.Anha pada satu ketika keluar bersama-sama Ummu Misthah menuju ke tempat menunaikan hajat di malam hari. Pada ketika itu, Ummu Misthah tergelincir disebabkan pakaiannya sendiri dan beliau melatah, “Celakalah Misthah!”. Apabila Saidatina Aisyah mendengarkan perkataan itu, Saidatina Aisyah R.Anha menegurnya dengan tegas kerana Misthah merupakan ahli Badar. Lantas, Ummu Misthah menyedari bahawa Aisyah masih tidak mengetahui mengenai berita tersebut, lalu menerangkan dan menceritakan segala perkara yang berlaku dan tuduhan kaum munafiq padanya.
Lalu setelah Saidatina Aisyah mendengar cerita itu, dia segera pulang dan menemui ibunya dan meminta penjelasan. Seorang wanita Ansar pun datang menemui mereka dan menceritakan segala-galanya dengan terperinci sehinggakan kejutan yang diterima ini menyebabkan Saidatina Aisyah R.Anha jatuh pengsan. Ketika beliau sedar dari pengsan, Rasulullah SAW datang menjenguknya, namun beliau meihat perubahan pada baginda kerana bagida hanya memberi salam dan bertanyakan keadaan Aisyah lalu lantas keluar. Disebabkan melihat kepada perubahan tersebut, beliau meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk menetap sementara waktu di rumah orang tuanya dan Rasulullah SAW membenarkan.
Apabila fitnah masih lagi berterusan yang tidak menunjukkan hentinya, Baginda SAW mengambil keputusan untuk meminta pendapat sahabatnya. Baginda SAW memanggil Saidina Ali bin Abi Thalib RA dan Usamah bin Zaid RA. Usamah bin Zaid RA menegaskan bahawa beliau tidak dapat membenarkan tuduhan tersebut terhadap Saidatina Aisyah R.Anha kerana tuduhan berat itu dianggap sebagai satu perkara yang pembohongan dan rekaan semata-mata. Tambahan pula, kesemua sahabat dan Rasulullah SAW sendiri mengenali Saidatina Aisyah sebagai seorang wanita yang solehah, taat dan bertaqwa.
Berbeza pula keadaannya dengan Saidina Ali Ibn Abi Talib disebabkan oleh rasa simpatinya dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW, beliau menjawab: “Ya Rasulullah, masih banyak lagi wanita lain.” Lalu beliau menyarankan kepada Nabi agar bertanyakan tentang Aisyah kepada pembantu Aisyah sendiri iaitu Barirah kalau-kalau ia mengetahui tentang apa yang sebenarnya terjadi. Lalu Barirah dibawa untuk menemui Baginda SAW. Maka Baginda SAW pun bertanyakan tentang hal Saidatina Aisyah R.Anha kepada Barirah. Lalu dia berkata: “ Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah, Aisyah sungguh lebih baik daripada emas yang baik.”
Setelah mendengar penjelasan Barirah, Rasulullah bertanya pula kepada isteri Baginda SAW iaitu Zainab binti Jahsy RA mengenai peribadi Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah. Sebagaimana yang telah diketahui, Zainab Bint Jahys RA sering bersaing dengan Aisyah R.Anha memenangi hati Rasulullah SAW. Namun begitu, ketika Rasulullah SAW bertanyakan mengenai Aisyah berhubung peristiwa fitnah ini, Zainab RA menjawab dengan baik, “Wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Aku tidak ketahui daripada diri Aisyah ini melainkan kebaikan semata.”
Setelah mendengar pelbagai pandangan, Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk bertemu dengan Saidatina Aisyah R.Anha sendiri di rumah mertuanya dan bertanyakan kepadanya secara langsung. Bagi Rasulullah SAW, kaedah ini dilihat sebagai satu kaedah yang terbaik untuk memperolehi kebenaran. Di rumah Abu Bakar RA Rasulullah SAW telah berkata kepada Saidatina Aisyah R.Anha, jika dia benar melakukannya maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT menerima taubat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.
Kata-kata Rasulullah SAW tersebut membuatkan Saidatina Aisyah terluka dan berkecil hati kerana seolah-olah Baginda SAW mempercayai tuduhan tersebut. Saidatina Aisyah kemudiannya memandang kepada kedua orang tuanya,untuk melihat reaksi mereka terhadap apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Akan tetapi keduanya berdiam diri tanpa sepatah kata. Aisyah mengerti mengapa keduanya berdiam diri kerana hanya dirinya sahaja yang mampu menjawab kata-kata Rasulullah SAW tadi.
Aisyah menjawab kepada Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dengan menafikan tuduhan tersebut dan enggan bertaubat kerana dia tidak melakukan maksiat tersebut. Dia berkata bahawa bersabar lebih baik dan hanya kepada Allah sahajalah dia memohon pertolongan atas apa yang dituduhkan kepadanya.
Ketika Rasulullah SAW ingin pulang, wajah Baginda SAW mula berubah dan keadaan Baginda SAW pada ketika itu nampak begitu berat dan berpeluh, sedangkan ketika itu adalah musim sejuk. Selepas daripada itu, lahir kegembiraan daripada wajah Rasulullah SAW, Baginda SAW tersenyum gembira dengan berkata: “Wahai Aisyah, bergembiralah kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah membebaskan dirimu.” Lalu Saidatina Aisyah mengucapkan tahmid kepada Allah SWT.
Sesungguhnya Allah SWT telah membersihkan nama Saidatina Aisyah R.Anha daripada fitnah itu dengan turunnya wahyu iaitu ayat 11-19, Surah al-Nur bagi menjelaskan hakikat sebenar yang berlaku. Ayat selepas itu menerangkan tentang hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan (qazaf) terhadap wanita yang suci dengan menghukumnya dengan hukuman sebatan. Hukuman qazaf dilaksanakan ke atas sahabat yang membicarakan dan mempercayai fitnah tersebut seperti Saidina Hasan Ibn Thabit RA, Masthath RA dan Hammanah RA. [3]
Pengajaran daripada kisah
Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah yang telah diceritakan oleh Aisyah. Ianya sangat berkait rapat dengan apa berlaku di zaman kita ini. Apatah lagi pada zaman kita berkembangnya teknologi dan ianya boleh dimanipulasi sesuka hati oleh sesiapa pun.
Al-Qadhi Iyadh menyatakan bahawa di dalam kisah ini banyak faedah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Antaranya ialah:
- berhukum dengan yang zahir,
- sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin khususnya mereka yang terkenal dengan kebaikan dan soleh seperti Aisyah dan Sofwan Bin Mu’attal.
- Begitu juga, jangan pedulikan pembohongan yang secara terang-terangan dibuat seperti mana yang ditunjukkan oleh kebanyakan kaum muslimin ketika mana Aisyah R.Anhanha dituduh.
- Beliau juga menyebut bahawa di dalam kisah ada isyarat agar segala apa yang diuji dan dituduh serahkan sepenuhnya pada Allah SWT,
- Banyakkan berdoa dan bertaubat kepada-Nya. (Rujuk Kamal Al-Mu’lim Syarh Sahih Muslim, 8/142)
Imam Al-Bukhari meletakkan kisah ini juga di dalam bab ‘ Jika seseorang membuat pengakuan dengan mengatakan : tidak kami tahu tentang orang ini melainkan yang baik-baik sahaja’ (باب: إِذَا عَدَّلَ رَجُلٌ أَحَدًا فَقَالَ لاَ نَعْلَمُ إِلاَّ خَيْرًا، أَوْ قَالَ مَا عَلِمْتُ إِلاَّ خَيْرًا) yang dimuatkan di dalam Kitab Penyaksian (الشهادات). Yang menariknya Maulana Zakariya Al-Kandahlawi menyatakan bahawa jika orang ramai sudah mengaku bahawa seorang individu sememangnya terkenal dengan kebaikan maka pengakuan itu boleh diambil. (Rujuk Al-Abwab Wa Al-Tarajim Li Sahih Al-Bukhari, 4/142).
Kita juga boleh belajar daripada sikap Ummu al-Mukminin Zainab Binti Jahsyi ketika mana Aisyah R.Anha dituduh berzina. Ketika Rasulullah SAW bertanya kepada beliau tentang apa yang berlaku pada ketika itu beliau menyebut :
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحْمِي سَمْعِي وَبَصَرِي وَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَيْهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَتْ وَهِيَ الَّتِي كَانَتْ تُسَامِينِي فَعَصَمَهَا اللَّهُ بِالْوَرَعِ
Maksudnya : Wahai Rasulullah aku menjaga telinga dan mataku. Tidak aku tahu berkenaan Aisyah melainkan yang baik-baik sahaja. Dia memang sentiasa menyaingi aku akan tetapi Allah menjaganya dengan kewarakan yang ada padanya.”
Riwayat Al-Bukhari (4381)
Melihat sikap Zainab sudah cukup menginsafi kita. Walaupun Aisyah merupakan pesaing Zainab namun Zainab tidak langsung bercakap buruk tentang Aisyah. Boleh sahaja beliau memburuk-burukkan Aisyah agar Rasulullah SAW tidak lagi melebihkan Aisyah seperti sebelum-sebelum ini, namun iman dan akal yang sihat mendahului nafsu. Beliau sentiasa mengatakan yang baik tentang Aisyah tatkala keadaan pada ketika itu menjadi kacau bilau dek kerana fitnah yang sedang melanda.
Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadwi menyatakan lagi beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini. Antaranya :
Pertama : Fitnah yang tersebar luas dan tidak dapat dibendung akan menimbulkan implikasi yang buruk dengan menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam kalangan masyarakat. Ini kerana masyarakat akan saling berprasangka dan menuduh di antara satu sama lain pada perkara yang belum pasti samada ia benar ataupun tidak. Lalu menimbulkan perasaan yang kurang senang antara satu sama lain.
Kedua : Tuduhan jahat dan fitnah walaupun ia merupakan sesuatu yang sukar dipercayai, namun masih sahaja terdapat golongan yang terpengaruh dan mempercayai bahawa fitnah tersebut benar-benar berlaku. Ini seperti yang terjadi kepada beberapa orang sahabat yang mempercayai fitnah Hadith al-Ifk tersebut seperti Misthah RA, Zaid Ibn Thabit RA, Hammanah Binti Jahsy RA dan lain-lain.
Ketiga : Tipu-daya dan komplot daripada golongan kafir dan munafiq untuk memecah-belahkan umat Islam daripada dalam, selepas mereka terhina dengan kekalahan peperangan Al-Ahzab. Apabila mereka mendapati bahawa mereka tidak dapat mengalahkan Nabi Muhammad SAW dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataan, maka mereka menggunakan serangan saraf yang melemahkan umat Islam daripada dalam dengan menimbulkan fitnah. Ini menyebabkan umat Islam tidak lagi bersatu hati dan timbul perasaan tidak senang dalam kalangan mereka.
Keempat : Tujuan golongan munafiq menyebarkan fitnah ini dalam kalangan masyarakat adalah untuk menyakiti Nabi SAW dengan menuduh orang yang paling disayangi oleh Nabi SAW iaitu isterinya, Saidatina Aisyah R.Anha. Sekaligus, ia menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat terhadap ahli keluarga yang rapat dengan Baginda SAW, yang pada akhirnya akan menggugat kepercayaan kepada Baginda SAW sendiri.
Kelima : Tindakan para Sahabat yang membela Saidatina Aisyah R.Anha untuk menjaga maruah dirinya daripada dipermainkan oleh golongan munafiq merupakan sesuatu yang wajar dipuji kerana ia memberi kekuatan kepada orang yang dituduh oleh fitnah yang besar tersebut. Ini seperti yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA yang membela anaknya tersebut daripada tuduhan tersebut.
(Rujuk Sirah Al-Nabawiyah Li Al-Nadwi, hlm 273)
Kami melihat suasana yang berlaku pada hari ini hampir membetuli apa yang diutarakan oleh Abu Hasan Ali Al-Nadwi
Saranan al-quran dalam menghadapi fitnah
Apabila kita selusuri satu persatu ayat daripada Surah Al-Nur kita akan dapati bahawa Al-Quran memberikan saranan dan cara bagaimana menghadapi fitnah yang sedang melanda. Saranan-saranan ini datang sejurus selepas Allah membebaskan Saidatina Aisyah daripada tuduhan zina bersama Sofwan Bin Mu’attol pada ayat yang ke 11. Antara saranan tersebut ialah :
Pertama : Sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT :
لَّوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا۟ هَـٰذَآ إِفْكٌ مُّبِينٌ
Maksudnya :” Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.
(Surah Al-Nur : 12)
Inilah yang dilakukan oleh sebahagian sahabat Nabi ketika mereka mendengar berita tentang Aisyah dan Sofwan Bin Mu’attol. Di antaranya ialah Abu Ayub Al-Ansari dan keluarganya. Mereka tidak langsung terlibat dalam komplot penyebaran mahupun mempercayainya. (Rujuk Al-Kasyaf ‘An Haqaiq Ghawamid Al-Tanzil, 3/212)
Kedua : Datangkan bukti atas setiap berita yang datang. Firman Allah SWT :
لَّوْلَا جَآءُو عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ ۚ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا۟ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ عِندَ ٱللَّـهِ هُمُ ٱلْكَـٰذِبُونَ
Maksudnya :” Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.”
(Surah Al-Nur : 13)
Ketiga :Jangan sesekali memperkecilkan dan meremehkan fitnah yang berlaku. Ini adalah perkara yang amat penting untuk diamati. Sikap orang Islam sepatutnya tidak melibatkan diri dalam apa-apa komplot untuk memburukkan orang lain dengan melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Ini dapat dilihat melalui firman Allah :
إِذْ تَلَقَّوْنَهُۥ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّـهِ عَظِيمٌ
Maksudnya :” Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”
(Surah Al-Nur : 15)
Keempat : Nasihat orang ramai agar jangan bercakap dan menyebarkan fitnah. Ini juga adalah sikap yang paling penting dalam menghadapi fitnah yang sedang melanda. Orang beriman lidahnya penuh dengan tanggungjawab. Dia tidak akan sewenangnya percaya dan menyebarkan berita fitnah yang datang. Dia juga menasihati orang lain agar jangan terlibat dalam penyebaran fitnah yang tidak diketahui kebenarannya. Firman Allah SWT :
وَلَوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَـٰذَا سُبْحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُهْتَـٰنٌ عَظِيمٌ
Maksudnya :” Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.
(Surah Al-Nur : 16)
Dan termasuklah menyebarkan berita melalui media massa tanpa usul periksa di samping masing-masing mengutarakan pendapat tanpa pengetahuan yang sebenar.
Semoga Allah tunjukkan kita perkara yang sebenar. Banyakkan berdoa :
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya :” Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
Wallahu’alam.
[1] Rujuk Al-Mufradat Fi Gharib Al-Quran hlm 23-24
[2] Beliau meletakkan hadis ini di dalam beberapa bab. Di antaranya di dalam kitab Tafsir bab firman Allah وْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ no 4381
[3] Rujuk Fiqh al-Sirah li Muhammad al-Ghazali, m/s 292-296 &
al-Sirah al-Nabawiyah lil Abu Hasan al-Nadwi, m/s 273-277