Mukadimah
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Islam telah menetapkan dasar bahawa akidah adalah sesuatu yang wajib dipelihara supaya tidak terjejas dan tergelincir dari landasan yang betul dan lurus. Antara dasar itu ialah mengelakkan diri daripada melakukan kekufuran dan kemurtadan, sama ada dengan mengatakan suatu perkataan atau melakukan suatu perbuatan atau beriktikad dengan suatu pegangan yang mengandungi maksud ingkar terhadap hak ibadat kepada Allah SWT, mengurangkan hak ibadat daripada Allah SWT atau mengithbatkan ibadat atau sebahagian daripada hak ini kepada selain daripada Allah SWT. Jika ia dilakukan juga, bererti seseorang itu telah kufur dan menjadi murtad daripada agama Allah SWT. (Lihat Iman: Rukunnya, Hakikatnya dan Pembatalnya, m. 53)
Memandangkan ada timbul isu berkenaan hukum Muslim berdoa sepentas bersama bukan Islam, kami cuba untuk tekuni permasalahan ini daripada sudut syarak. Oleh itu, kami namakan Bayan Linnas kali ini dengan tajuk “HUKUM DOA BERSAMA DENGAN BUKAN ISLAM DALAM SATU MAJLIS”,
Perkara yang Membatalkan Syahadah
Secara ringkasnya syahadah boleh terbatal dengan dua perkara. Pertama, menafikan hak Allah SWT dari segi ibadat iaitu terhadap mana-mana jenis ibadat. Kedua, Menetapkan hak ibadat kepada mana-mana makhluk selain daripada Allah SWT.
Di dalam Islam, ibadah itu hanya terkhusus kepada Allah SWT. Ia meliputi perasaan takut (al-khauf), pengharapan rahmat (al-raja’), khusyuk, memohon perlindungan, berdoa, bertawakkal, rukuk, sujud, puasa, penyembelihan haiwan, tawaf dan lain-lain yang dilakukan hanya kerana Allah SWT. (Lihat Iman: Rukunnya, Hakikatnya dan Pembatalnya, m. 55-56)
Dalam hal ini, berdoa adalah termasuk dalam kategori ibadah. Ia merupakan salah satu tanda kerendahan diri hamba terhadap Tuhannya. Dengan demikian, ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syara’. Ini bermakna doa tidak boleh dilakukan sebagai suatu acara kebudayaan atau adat yang bertentangan dengan roh ibadah dan rasa tawaduk kepada Allah SWT. Sebagai suatu ibadah, doa hendaklah dilakukan pada masa yang sesuai, suasana yang baik dan di tempat yang sepatutnya.
Konsep Doa dalam Islam
Dari segi bahasa perkataan “doa” bererti panggilan atau meminta pertolongan, namun dari segi istilah ia lebih difahami sebagai permohonan daripada seorang hamba kepada Allah SWT untuk menunaikan hajatnya.
Dalam al-Quran, perkataan doa mempunyai pelbagai pengertian dan makna. Antaranya dengan makna “ibadat” (Surah Yunus, 106), makna “memuji” (Surah Isra’, 110), makna “memohon bantuan atau pertolongan” (Surah al-Qasas, 64) dan makna “permintaan” (Surah al-Mukmin, 60). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 20/256-257)
Berdasarkan kepada pengertian-pengertian doa yang tersebut, dapat dirumuskan bahawa doa adalah satu ibadat untuk melahirkan rasa rendah diri dan tunduk kepada Allah SWT sambil menyatakan hajat atau permohonan yang dikehendaki. (Lihat Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 5/27-28)
Sebaliknya ia berbeza dengan doa orang kafir. Pada hakikatnya ia tidak mempunyai nilai di sisi Allah SWT berdasarkan firman-Nya:
وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ
Bermaksud:“Tiadalah doa dan ibadat orang kafir itu melainkan sia-sia sahaja.”
(Surah al-Ra’d: 14)
Menurut tafsir Imam al-Qurtubi, ayat ini membawa maksud bahawa ibadat orang kafir terhadap berhala-berhala itu tidak memberi apa-apa makna melainkan kesesatan kerana ianya syirik, dan dikatakan juga bahawa dengan doa itu hanya boleh menyesatkan lagi bahkan mereka sekali-kali tidak akan mendapati jalan keluar. Ibnu Abbas mengatakan bahawa suara-suara orang kafir itu terhijab daripada Allah dan Allah tidak mahu mendengar seruan doa mereka. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 9/301)
Menurut Imam Abu Ja’far al-Tabari pula, ayat ini merupakan perumpamaan terhadap golongan kafir yang berdoa kepada berhala yang sekali-kali tidak akan menjawab seruannya bahkan tidak akan memberikan sebarang kebaikan kepadanya serta tidak juga mendatangkan sebarang mudarat kepadanya sehingga ajal menemuinya. Bandingannya ialah seperti seorang yang membuka kedua telapak tangannya untuk mendapatkan air ke mulutnya, namun air tidak sampai ke mulutnya kerana telapak tangan yang terbuka tidak dapat menampung air sehinggalah dia mati kehausan. (Lihat Tafsir al-Tabari, 13/130)
Menurut Tafsir Ibnu Kathir, orang musyrikin yang menyembah tuhan selain Allah itu, ia (tuhan-tuhan mereka) tidak memberikan apa-apa manfaat kepada mereka di dunia mahupun di akhirat. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/508)
Ketika mentafsirkan Surah Ghafir ayat 49-50, Ibn Kathir menyatakan:
“Ketika golongan kafir memohon kepada malaikat supaya mendoakan mereka untuk diselamatkan dari api neraka walaupun sehari, lalu malaikat penjaga neraka berkata: Bukankah para rasul pemberi ingatan telah datang kepada kamu? Golongan kafir menjawab: Ya. Para malaikat berkata: Kamu berdoalah sendiri untuk diri kamu, kami tidak akan berdoa untuk kamu dan tidak akan mendengar rayuan kamu, dan tidak akan berharap pelepasan kamu (daripada azab), bahkan kami berlepas diri daripada (perbuatan syirik) kamu, kemudian kami ingin memberitahu kamu bahawa sama ada kamu berdoa atau tidak berdoa, kamu sekali-kali tidak akan diterima dan azab kamu tidak akan diringankan sedikit pun”. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/149)
Selain itu, terdapat ayat-ayat yang menyuruh supaya kita berlepas diri daripada peribadatan atau agama orang kafir.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun:
قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6)
Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.
(Surah al-Kafirun: 1-6)
Menurut Ibn Kathir, surah ini merupakan surah al-Bara’ah (pelepasan diri) daripada amalan yang diamalkan oleh orang musyrikin. Ayat tiga yang bermaksud “Dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah” bermakna aku tidak beribadat dengan ibadat kamu iaitu tidak mengambil jalan itu dan mengikutinya, sebaliknya aku menyembah Allah SWT berdasarkan cara yang disuruh dan diredhainya. Manakala ayat empat yang bermaksud “Dan tidaklah kamu menyembah apa yang aku sembah” bermakna kamu tidak mengikut perintah-perintah Allah SWT dan syariat-Nya dalam beribadat bahkan kamu telah mereka-reka sesuatu daripada diri kamu sendiri.
Ianya bersamaan dengan firman Allah SWT:
وَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقُلْ لِي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنْتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَا بَرِيءٌ مِمَّا تَعْمَلُونَ
Bermaksud, “Dan sekiranya mereka membohongi kamu maka katakanlah bagiku amalanku dan bagi kamu amalan kamu, (ibadat) kamu tidak berkaitan dengan amal (ibadat) ku dan aku berlepas diri dengan segala (ibadat) yang kamu kerjakan.”
(Surah Yunus: 41)
Begitu juga dengan ayat 15 surah al-Syura yang bermaksud, “Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.” Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/ 103 & 532)
Penglibatan Orang Bukan Islam Dalam Solat Istisqa’ (Solat dan Doa Memohon Hujan Ketika Kemarau)
Para ulama’ berbeza pandangan dalam isu ini iaitu samada ianya dibenarkan atau tidak dibenarkan majlis solat istisqa’ tersebut dihadiri oleh orang bukan Islam.
- Menurut mazhab Hanafi, orang bukan Islam tidak dibenarkan menghadiri upacara solat istisqa’ tetapi jika mereka turut serta, ianya tidak dilarang. Imam al-Sarakhsi memetik kenyataan Imam Malik bahawa terdapat athar bahawa mereka keluar bersama-sama orang Islam ketika zaman beberapa khalifah dan mereka tidak dilarang. (Lihat al-Mabsut, 2/77)
- Menurut mazhab Maliki, orang bukan Islam tidak ditegah untuk hadir, bahkan tidak dilarang sekiranya mereka berdoa meminta hujan dan bertawaf dengan memohon kepada salib dan kesyirikan mereka. Sekiranya jelas perbuatan tersebut, hendaklah diasingkan daripada kelompok umat Islam dan dilarang daripada menzahirkan salib dan kesyirikan tersebut di pasar-pasar orang Islam serta kelompok yang melaksanakan solat istisqa’ sebagaimana mereka dilarang daripada menzahirkan zina dan minum arak. (Lihat Mahawib al-Jalil, 2/206)
- Menurut mazhab Hanbali, makruh sekiranya orang Islam meminta mereka yang bukan beragama Islam untuk menyertai majlis solat Ististqa’. Adapun sekiranya mereka hadir tanpa diminta, maka tidak dilarang dan kehadiran mereka tidak makruh di sisi orang Islam. Dalam masa yang sama, hendaklah tempat ada orang Islam dan orang bukan Islam itu berasingan (Lihat Kasysyaf al-Qina’, 2/69)
- Di sisi mazhab Syafie, orang bukan Islam tidak dilarang untuk hadir jika mereka hadir sendiri kerana mereka juga dikurniakan rezeki oleh Allah SWT daripada sifat al-Rahman-Nya, bahkan kurniaan Allah itu luas. Akan tetapi, hendaklah tidak bercampur dengan orang Islam semasa mereka keluar menuju ke tempat solat istisqa’ begitu juga ketika di tempat berkenaan kerana hukumnya makruh dan hendaklah diasingkan tempatnya. (Lihat al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, 5/66; Minhaj al-Talibin, 185; al-Umm, 1/284).
Hukum Majlis Sepentas Doa Bersama-Sama Dengan Bukan Islam
Setelah meneliti perbahasan berkenaan penglibatan orang bukan Islam dalam solat istisqa’, kami mengqiyaskannya kepada majlis-majlis yang seumpamanya yang diadakan hari ini dengan pandangan seperti berikut:
- Dilarang bagi orang Islam untuk melibatkan diri dalam majlis doa beramai-ramai yang dianjurkan oleh orang bukan Islam, atau dalam majlis yang dibacakan doa yang tidak difahami maksudnya (Lihat Hasyiah al-Jamal, 2/119), atas dasar sadd al-zara’i (menutup jalan-jalan kerosakan) untuk mengekang fahaman pluralisme agama yang bertentangan dengan kebanyakan agama-agama, dan mengekang penyebaran agama lain kepada penganut agama Islam berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.
- Penganjuran majlis seperti ini pada masa akan datang (sekiranya ada keperluan), wajib mendapatkan kebenaran Sultan atau Mufti selaku pihak berkuasa utama pentadbiran agama Islam. Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada pihak berkuasa utama pentadbiran agama Islam. Ini sebagaimana yang difatwakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami yang menegaskan bahawa pemimpin boleh membenarkan atau menghalang kehadiran orang bukan Islam dalam majlis solat istisqa’ berdasarkan maslahah. (Lihat Tuhfatul Muhtaj, 3/75). Ia juga selari dengan Seksyen 33 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).
- Sekiranya penganjuran berkenaan diberi kebenaran oleh pihak berkuasa utama, disunatkan disediakan tempat khas bagi orang bukan Islam untuk berdoa dalam kalangan mereka. Makruh jika bercampur tempat antara orang Islam dan orang bukan Islam. Diharuskan untuk mengaminkan doa yang dibaca oleh orang Islam dan bukan Islam tanpa ada unsur membesarkan agama-agama lain selain Islam bagi tujuan perpaduan, keamanan sejagat, kesejahteraan bersama dan lain-lain tujuan keduniaan yang tidak berkaitan dengan ibadat. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 2/119). Hendaklah teks bacaan doa tersebut disaring terlebih dahulu oleh pihak berkuasa utama.
- Pendirian ini juga bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 berkenaan “Hukum Meminta Orang Bukan Islam Sama-Sama Berdoa Mengikut Anutan Masing-Masing Dalam Satu Majlis Yang Dihadiri Oleh Penganut Pelbagai Agama” yang memutuskan bahawa orang Islam tidak harus meminta atau mengarahkan orang bukan Islam berdoa mengikut agama mereka masing-masing. Walau bagaimanapun, jika mereka berdoa atau memohon sesuatu mengikut ajaran mereka dengan kehendak mereka sendiri tanpa diarahkan, perbuatan tersebut tidak dilarang.
Kesimpulan
Akhirnya, kami ingin tegaskan bahawa Islam adalah agama yang memperakui kewujudan pelbagai agama. Ia berdalilkan nas-nas syarak yang banyak. Bahkan sejarah Islam telah membuktikan sejak sekian lama golongan bukan Islam dapat hidup dengan aman dan damai di bawah beberapa era pemerintahan Islam bermula pada zaman Rasulullah SAW, Khulafa’ al-Rasyidin, Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan Turki Uthmaniyyah.
Pun begitu, meraikan kepelbagaian bukan bermaksud mengiktiraf keabsahan agama lain sehingga sanggup berkompromi dalam hal-hal yang bersifat prinsip. Justeru, dalam hal yang berkaitan dengan prinsip-prinsip aqidah, ibadah dan syariah, Islam akan kekal eksklusif sampai bila-bila.
Namun, dalam perkara yang melibatkan keamanan sejagat dan perpaduan nasional, kita boleh bersama-sama merealisasikannya sebagai warganegara Malaysia. Moga Allah SWT kurniakan kepada kita kekuatan untuk terus istiqamah dan jujur dalam mempertahankan kesucian agama ini. Wallahu a’lam.