Mukadimah

Kami mengucapkan tahniah kepada pasukan bolasepak kebanngsaan yang berjaya melayakkan diri masuk ke perlawanan akhir bertemu Thailand dalam Sukan Sea 2017. Ketika artikel ini ditulis, sampai kepeda pengetahuan kami, tindakan pihak-pihak tertentu yang menjadi ‘ulat tiket’ untuk membeli tiket perlawanan akhir tersebut dan menjualnya dengan harga yang berlipat kali ganda.

Sebenarnya isu ini adalah isu yang sudah berlaku saban tahun, dan telah menyebabkan rasa tidak puas hati dan dizallimi dalam kalangan masyarakat. Sebahagian pihak menganggap bahawa akad jual beli tiked berkenaan adalah haram kerana mengandungi unsur ghabn dan ihtikar. Justeru kami mengambil inisiatif untuk membincangkannya dalam Bayan Linnas dengan tajuk “Fenomena Ulat Tiket Di Stadium : Satu Pandangan”.

 

Definisi Ulat Tiket

Menurut pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah ‘ulat tiket’ belum lagi dimasukkan secara rasmi sebagai simpulan bahasa yang diiktiraf. Namun, istilah tersebut boleh diterima sebagai terjemahan daripada perkataan ‘tout’ yang juga merujuk kepada penjual tiket secara haram.[1]Daripada sudut uruf, istilah ulat tiket ini juga sudah menjadi tular penggunaannya dalam laporan-laporan media media massa seperti BERNAMA, dan lain-lain.

Maka, istilah ‘ulat tiket’ boleh diungkapkan sebagai merujuk kepada golongan yang berniaga dengan cara membeli tiket dengan harta asal di kaunter yang sah, terutama pada musim permintaan tinggi, seperti perlawanan akhir atau musim hari raya, kemudian menjual balik dengan harga yang yang lebih tinggi. Harga jual balik tiket itu boleh mencecah sehingga 5 kali ganda atau lebih.

Kami berpendapat bahawa fenomena ulat tiket ini berpunca daripada sikap suka monopoli dan tamak. Kesannya, ramai pihak khususnya masyarakat yang membayar cukai berasa tidak berpuas hati dan tidak adil kerana terpaksa membayar tiket yang mahal berlipat kali ganda daripada harga asal.

Ini adalah hampir dengan makna al-ghabn al-fahisy dan ihtikar yang diharamkan oleh ramai ulama.

 

Definisi al-Ghabn

Kata al-ghabn diambil dari bahasa Arab dari kata (غَبَنَ – يَغْبِنُ – غَبْنًا). Al-ghabn memiliki makna daripada sudut bahawa yang sama dengan an-naqs yaitu pengurangan, al-ghalab (mengalahkan) dan al-khida’ (menipu). Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 31/138.

Dari sudut istilahnya, al-ghabn bermaksud kekurangan pada salah satu alat pembayaran akibat manipulasi. Oleh itu, al-ghabn adalah kekurangan pada harga saat menjual dan membeli akibat manipulasi pihak tertentu. Kekurangan ini boleh dirasai oleh pihak pembeli dan penjual pada beberapa keadaan:

  • Dari sudut pihak pembeli, maka kekurangan harga ini maksudnya harga yang dibayar tidak setara atau tidak sesuai dengan nilai barang yang diterima. Dengan kata lain, harganya terlalu tinggi menurut kebiasaannya atau ketetapan asal.
  • Bila ditinjau dari pihak penjual, maka maksudnya harga yang diterima tidak sebanding dengan nilai barangnya yang sebenarnya.

Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 20/148.

Orang yang memanipulasi harga ini bila dia seorang penjual, bererti dia menjual barang dengan harga lebih tinggi dari harga sebenarnya. Sebaliknya, bila penjual yang menjadi mangsa, berarti dia menjual barangnya dengan harga jauh lebih rendah dari harga yang sebenarnya akibat tindakan khianat pembeli atau orang ketiga.

 

Dasar Pensyariatan

Pensyariatan khiyar al-ghabn menjadi khilaf di kalangan para ulama’.  Namun yang rajih dan kuat menurut pendapat kami, khiyar ini berlaku. Secara umum, seorang pembeli apabila hendak membeli (khususnya barang-barang yang bernilai tinggi) tidak akan sepakat dengan penjual kecuali jika dia merasa bahawa wang yang akan dibayarkannya sesuai dengan nilai barang yang dibeli.

Apabila dia merasakan tidak berbaloi wang yang dibayar dengan nilai barang, maka dia tidak akan melakukan urusan jual beli. Komitmen ini walaupun tidak dilafazkan dan tidak dijelaskan dalam jual beli, namun ia termasuk komitmen yang terzahir dari banyak faktor. Bukti yang jelasnya adalah ada pilihan tawar menawar dan bertanya kepada beberapa tempat lain yang menjual barang tersebut.

Islam melarang segala bentuk perkara yang merugikan orang lain seperti dalam sabda Rasulullah SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.”

(Riwayat Ibn Majah, no. 2341, Imam Malik, no. 2/746 dan al-Daraqutni, no. 4/228)

Ibn Daqiq al-‘Id menyebut bahawa al-Mahasini berkata: “Yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan suatu yang bermanfaat bagi dirinya tetapi menyebabkan orang lain mendapat mudharat.” Ini adalah pendapat yang benar.

Larangan dalam hadis ini bersifat umum, merujuk kepada larangan terhadap apa sahaja yang boleh menimbulkan kerugian bagi diri sendiri atau orang lain, termasuk larangan memanipulasi harga. Jual beli yang mengandung unsur manipulasi harga apabila disahkan tanpa ada khiyar (hak pilih) untuk membatalkan atau melanjutkan jual beli merupakan mudarat dan merugikan orang lain.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ تَلَقِّي الْجَلَبِ فَإِنْ تَلَقَّاهُ مُتَلَقٍّ مُشْتَرٍ فَاشْتَرَاهُ فَصَاحِبُ السِّلْعَةِ بِالْخِيَارِ إِذَا وَرَدَتْ السُّوقَ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang perbuatan orang yang menahan orang yang membawa barang dagangan sebagai pembeli lalu ia membeli barang (yang dibawa oleh orang yang ditahan) itu, maka pemilik barang (penjual) memiliki hak pilih (al-khiyar) apabila penjual itu sampai pasar.

Riwayat Abu Daud (3437)

Pendapat yang asah dalam mazhab al-Syafie bahawa jual beli itu sah tetapi berdosa sekiranya pembeli itu menipu penjual bahawa di pasar berlaku krisis ekonomi maka barang menjadi murah. Ia juga termasuk dalam kategori penipuan pada harga.

Begitu juga menjadi hak pemilik barang yang asal untuk khiyar; sama ada menerus akad itu atau membatalkannya sekiranya berlaku ghabn.

 

Isu Ihtikar dan Tas’ir

Istilah ihtikar membawa maksud seseorang membeli barang keperluan manusia lalu menyimpannya sehingga waktu al-ghala’ (krisis kekurangan bahan), kemudian menjualnya dengan harga yang lebih tinggi daripada yang dia beli. Barang keperluan ini dianggap sebagai aqwat (bahan asas) bagi manusia.

Ihtikar ini sering diterjemah sebagai monopoli dan hukumnya adalah haram. Mua`mmar al-Adawi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحْتَكِرُ إِلَّا خَاطِئٌ

Maksudnya: “Seseorang itu tidak melakukan ihtikar melainkan seorang pesalah.”

Riwayat Muslim (1605)

Namun, ihtikar ini hanya berlaku pada barang asas sahaja. Jika berlaku ihtikar bukan pada barang asasi, maka tiada mudarat, mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie. Namun begitu, Syeikh Muhammad al-Zuhaili, pengarah kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie berpendapat: “Barangkali pendapat itu merujuk konteks zaman dahulu, sedangkan zaman sekarang apabila berlaku ihtikar dalam pelbagai barang dagangan nescaya akan mendatangkan mudarat kepada manusia jua.”

Begitu juga dengan isu tas’ir yakni penetapan harga barang. Hukum asalnya bahawa pemerintah tiada kuasa menentukan harga barang berdasarkan hadis  Anas bin Malik RA, apabila manusia meminta Rasulullah SAW menetapkan harga barang, Baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّازِقُ، وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يُطَالِبُنِي بِمَظْلَمَةٍ فِي دَمٍ وَلَا مَالٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allahlah Penetap harga barang. Dialah yang menahan dan jua melapangkan rezeki. Dialah Maha Pemberi rezeki. Sesungguhnya aku harap untuk bertemu Allah dalam keadaan tiada seorang pun daripada kalangan kamu yang menuntut aku atas kezaliman terhadap darah dan harta.”

Riwayat Abu Daud (3451)

Namun, Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata ijtihadnya:

“Hari ini boleh bagi seorang mujtahid untuk membenarkan penetapan harga barang apabila melihat kepada berubahnya keadaan-keadaan dan situas-situasi masyarakat. Ini untuk mentahqiqkan maslahah awam pada penetapan harga barang. Terdapat pendapat yang membenarkan penetapan harga barang ketika waktu al-ghala’ (krisis ekonomi) ke atas barang makanan. Justeru apabila pemerintah sudah menetapkan harga syiling, lalu penjual ingkar, maka menjadi hak pemerintah untuk mengenakan ta`zir (hukuman) ke atas pembeli, sekalipun jual beli itu asalnya adalah sahih.”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie  (3/65-66)

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kami melihat daripada sudut umum, budaya ulat tiket ini adalah tidak bermoral kerana telah menafikan hak pembayar cukai untuk menikmati kemudahan yang disediakan boleh pihak penganjur dengan harga yang standard dan peluang yang adil dan saksama. Sepatutnya sifat berperikemanusiaan itu saling bantu membantu dan tolong-menolong. Fenomena ini juga boleh merangsang jenayah penipuan tiket seperti pernah berlaku.

Kami cadangkan agar digubal undang-undang berkaitan ulat tiket supaya tidak lagi berlaku manipulasi dalam masyarakat di negara ini. Ini tidak mustahil kerana kita sudah ada undang-undang yang memberi kuasa kepada SPAD untuk memantau dan mengambil tindakan kepada ulat tiket bas ekspres dan pihak-pihak yang menyalahgunakan baucar buku 1 Malaysia.[2]

Kami juga menyeru kepada mangsa keadaan agar membuat laporan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017 atau MASOC, KPDNKK, SKMM, Majlis Perbandaran dan pihak polis sekiranya berdepan dengan kes-kes ulat tiket, sama ada melibatkan perniagaan atas talian dan secara langsung. Ini bagi memberikan punca kuasa bagi badan-badan terbabit untuk bertindak dan mengekang fenomena ini.

Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita lebih prihatin dan cakna kepada isu semasa yang kadang-kadang menyusahkan masyarakat dan orang ramai dengan tindak-tanduk segelintir yang berkepentingan kepada diri sendiri semata-mata. Majulah sukan untuk mencapai redha Allah.

 

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan.

29 Ogos 2017 bersamaan 8 Zulhijjah 1438J

 

 

 

 

 

[1] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=ulat&d=175768&#LIHATSINI

[2][2] http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/996-al-kafi-246-tunaikan-baucar-secara-bertangguh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *