AL-KAFI #811 : BENARKAH MATI ITU MENGEJUT?

Soalan

Benarkah sifat mati itu mengejut?

Jawapan

Alhamdulillah,pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada hakikatnya, kematian merupakan satu ketentuan Allah SWT. Setiap manusia pasti akan akan mengalami kematian, sama ada dalam keadaan biasa, atau dalam keadaan mengejut. Allah SWT berfirman:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).

(Surah al-Ankabut: 57)

Ibn Kathir berkata: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah.

Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim(6/197)

Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(Surah al-A’raf: 34)

Kematian mengejut merupakan di antara tanda-tanda hampirnya berlaku kiamat. Rasulullah SAW bersabda:

مِن اقْتِرَابِ السَّاعَةِ…. وَأَنْ يَظْهَرَ مَوْتُ الْفُجَاءَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya di antara tanda-tanda hari Kiamat adalah…munculnya kematian mengejut.”

Riwayat al-Tabarani dalam
al-Mu’jam al-Saghir (1132)

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: Aku bertanya pada Rasulullah SAW berkenaan kematian mengejut. Lalu Baginda bersabda:

رَاحَةٌ لِلْمُؤْمِنِ ، وَأَخْذَةُ أَسَفٍ لِلْفَاجِرِ

Maksudnya: “(Mati mengejut) adalah suatu kesenangan bagi seorang mukmin dan penyesalan bagi orang derhaka.”

Riwayat Imam Ahmad (25556)

Disebut di dalam kitab Fath al-Bari bahawa sebahagian daripada ulama’ salaf tidak menyukai kematian yang datang secara mengejut. Hal ini kerana dikhuatiri ia tidak memberi kesempatan bagi seseorang untuk meninggalkan wasiat dan juga bagi mempersiapkan diri untuk bertaubat serta melakukan amal-amal soleh yang lain. Perkara ini dinukilkan oleh Imam Ahmad dan sebahagian daripada ulama mazhab Syafi’i.

Imam Nawawi menukilkan bahawa beberapa orang daripada kalangan sahabat Nabi SAW dan juga orang-orang soleh meninggal secara mengejut. Imam Nawawi berkata, “Kematian mengejut itu disukai oleh para muqarrabin (mereka yang sentiasa menjaga amal kebaikan kerana merasa diawasi oleh Allah).” 

Rujuk Fath al-Bari (3/245)

Al-Hafiz Ibnu Hajar kemudian berkata, “Dengan yang demikian, maka kedua pandangan di atas dapat disatukan.”

Lihat Fath al-Bari (3/255)

Disebut bahawa Luqmanul Hakim pernah memberikan nasihat peringatan kepadaa naknya tentang kematian mengejut. Daripada Uthman bin Zaidah, beliauberkata:

قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ: يَا بُنَيَّ لَا تُؤَخِّرِ التَّوْبَةَ، فَإِنَّ الْمَوْتَ يَأْتِي بَغْتَةً…

Maksudnya:Luqmanul Hakim pernah menasihati anaknya dengan berkata: “Wahai anakku!Janganlah kamu menunda-nunda taubat, sesungguhnya kematian akan datang secara tiba-tiba…”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6802)

Akhir kalam, marilah kita sama-sama memohon kepada Allah SWT agarmengurniakan kepada kita kematian dalam Husnul Khatimah sebagaimana yangselalu didoakan oleh salafus soleh:

اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ

Maksudnya: Ya Allah sudahilah bagi kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *