Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti saya ada kekeliruan, benarkah dalam doa khatam Al-Quran itu, perkataan Nasiina ( نَسِينَا ) sepatutnya dibaca Nussina ( نُسِّينَا ) ? Atau tiada masalah untuk membaca mana-mana daripada salah satu perkataan tersebut ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebagai mukadimah, kami nyatakan terlebih dahulu bacaan doa yang dimaksudkan tersebut:

الّلَهُمَ ارْحَمْنَا بِالْقُرْآن، واجْعَلْهُ لَنَا إمَامَاً وَنُوْرَاً وَهُدَىً ورحمةً الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نسيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار واجْعَلهُ لَنَا حُجَّةٌ يَا ربَّ الْعَالَمِيْن

Maksudnya: Ya Allah rahmatilah kami dengan al-Quran, dan jadikanlah ia sebagai imam, cahaya, petunjuk, serta rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami daripadanya apa yang telah kami dilupakan, dan ajarkan kami darinya apa yang kami jahil serta rezekikanlah kami untuk membacanya siang dan malam, dan jadikanlah ia sebagai hujah kepada kami wahai Tuhan sekalian alam.

Doa ini tidaklah tsabit dalam mana-mana riwayat sebagai doa khatam al-Quran yang warid daripada Rasulullah S.A.W. Meskipun begitu, dari sudut makna-makna yang terkandung di dalam doa ini ia merupakan doa yang amat baik. Justeru, semata-mata pengamalan membaca doa di atas ini berasaskan konsep keumuman berdoa maka ianya adalah dibolehkan.

Bahkan antara waktu yang dianggap sebagai mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T ialah selepas khatam al-Quran. Hal ini dianggap sebagai salah satu bentuk tawassul dengan amal salih. Tsabit bin Qais R.A berkata:

كَانَ أَنَسٌ إِذَا خَتَمَ الْقُرْآنَ جَمَعَ وَلَدَهُ وَأَهَلَ بَيْتِهِ فَدَعَا لَهُمْ

Maksudnya: Adalah Anas apabila mengkhatamkan al-Quran, beliau menghimpunkan anaknya dan ahli keluarganya di rumah beliau kemudian berdoa bagi mereka.

Riwayat al-Darimi (3801)

Imam Al-Nawawi setelah menyebutkan sejumlah riwayat berkenaan kelebihan berdoa selepas khatam al-Quran berkata: “Dan tersangatlah disukai (oleh syarak) akan perbuatan berdoa selepas mengkhatamkan al-Quran sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini”.

Mengulas kepada persoalan berkaitan kalimah نَسِينَا dan نُسِّينَا maka kami katakan dari sudut bahasa arab, perkataan نَسِيتُ (aku lupa) merupakan daripada perbuatan orang yang berkata. Iaitu menunjukkan dia sendiri yang melupakan sesuatu perkara itu. Manakala perkataan أُنسِيتُ  pula dari perbuatan selain dirinya. Dari sudut dia dilupakan oleh selain dirinya.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, terdapat sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 بِئْسَمَا لأَحَدِهِمْ يَقُولُ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ هُوَ نُسِّيَ اسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَلَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ بِعُقُلِهَا

Maksudnya: Sangat buruk bagi salah seorang kamu yang mengatakan bahawa aku lupa ayat sekian dan sekian bahkan dia sebenarnya dilupakan. Berusahalah untuk mengingati Al-Quran, kerana sesungguhnya ia sangat cepat lari dari dada-dada manusia berbanding unta yang terikat dengan talinya.

Riwayat Muslim (790)

Imam Al-Nawawi Rahimahullah meletakkan hadis ini di bawah bab :

الأَمْرِ بِتَعَهُّدِ الْقُرْآنِ وَكَرَاهَةِ قَوْلِ نَسِيتُ آيَةَ كَذَا وَجَوَازِ قَوْلِ أُنْسِيتُهَا

Maksudnya: Perintah untuk memelihara (hafalan) al-Quran dan kemakruhan ucapan ‘’aku lupa ayat sekian’’ dan keharusan untuk menyebut ‘’aku dilupakan ayat sekian’’.

Bahkan kata al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini: ‘’Pada hadis ini menunjukkan kemakruhan ucapan ‘’aku lupa ayat sekian’’ dan ia merupakan makruh tanzih. Dan sesungguhnya tidak dimakruhkan ucapan ‘’aku dilupakan’’. Ini kerana yang dilarang adalah tentang ucapan ‘’aku melupakannya’’ kerana ia mengandungi perbuatan tasahul (mengambil mudah) dan melalaikan al-Quran’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (6/404).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa bacaan yang setepatnya dalam berdoa adalah dengan menyebut:

الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نُسِّيْنَا

Maksudnya: Ya Allah ingatkanlah kami dari al-Quran apa yang kami telah dilupakan akannya.

Ini seperti beberapa hujahan yang kami sebutkan di atas. Manakala dielakkan sebutan nasiina kerana perkataan نَسِيْنَا membawa maksud ‘’kami telah lupakan’’ mengandungi konotasi yang negatif dari sudut ia menunjukkan kepada kita meninggalkan atau mengabaikan al-Quran al-Karim maka ianya dihukum sebagai makruh di sisi para ulama.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *